
Walaupun bekerja sepenuh masa di sebuah agensi hiburan, lelaki berusia 43 tahun itu tetap ‘mengorbankan’ masa cutinya untuk menyelamatkan haiwan terbiar sebelum menempatkan mereka di kediaman lebih selamat.
Poh berkata, usaha melalui media sosial sahaja tidak mencukupi, terutama bagi anak anjing baka biasa yang kurang mendapat perhatian.
“Saya sudah cuba (untuk ‘rehome’) melalui media sosial, tetapi sambutannya terhad. Kadang-kadang langsung tiada siapa bertanya. Jadi, saya terpaksa turun ke jalanan supaya lebih ramai orang nampak mereka,” katanya kepada FMT.
Katanya, pengalaman melihat haiwan jalanan mati dilanggar kenderaan menjadi antara pendorong utama untuk terus melakukan kerja sukarela itu.
“Hati saya hancur setiap kali melihat keadaan itu. Jika kita mampu membantu, mengapa tidak beri mereka peluang untuk hidup di tempat yang sesuai?” katanya.

Misinya kali ini bermula apabila seekor anjing liar di kawasan perumahannya melahirkan 11 anak. Dalam tempoh dua minggu, Francis berjaya mendapatkan rumah untuk lapan daripadanya.
Kini, baki tiga anak anjing menjadi fokus utama Poh.
Usahanya turut dibantu jiran, Parimala Balakrishnan, 53, yang menjaga anak anjing itu sejak dilahirkan.

“Saya rasa tidak ada orang lain sanggup lakukan apa yang Francis buat. Dia berdiri dari pagi sampai malam demi haiwan ini, sesuatu yang luar biasa,” katanya, menyifatkan Poh sebagai seorang yang kelakar, baik dan rendah diri.
Menurut Poh, kali ini adalah tempoh paling lama diambil untuk menempatkan haiwan diselamatkannya, kini memasuki minggu ke-14 dalam tempoh dua bulan.
Beliau bimbang masa semakin suntuk kerana anak anjing itu kian membesar, sekali gus menyukarkan peluang untuk diambil sebagai haiwan angkat.
“Saya cuma mahu bantuan masyarakat kongsikan misi ini. Tinggal tiga ekor sahaja lagi, dan saya harap sangat mereka dapat rumah baharu secepat mungkin,” katanya.
Orang ramai yang berminat mengambil anak anjing tersebut boleh menghubungi Poh melalui Facebook (Francis Yirdaki CT) atau Instagram (@Francis_yirdaki).