
Beliau berkata walaupun ada kes stesen tertentu kehabisan minyak, siasatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mendapati gangguan berpunca daripada masalah operasi di stesen individu, bukannya isu bekalan secara menyeluruh.
“Gangguan ini dipengaruhi oleh turun naik harga serta cara syarikat minyak menguruskan pengagihan bekalan,” katanya dalam temu bual bersama Astro Awani.
Akmal menjelaskan walaupun bekalan bahan api negara masih stabil, kos logistik untuk penghantaran telah meningkat dua kali ganda, manakala premium insurans pula melonjak sehingga 16 kali ganda.
Menurutnya, keadaan ini memaksa syarikat minyak menyesuaikan semula cara mereka menguruskan pengedaran bahan api.
Mengulas mengenai rizab bahan api Malaysia, beliau berkata langkah-langkah telah diambil bagi memastikan bekalan berterusan dalam beberapa bulan akan datang.
“Perinciannya di bawah Petronas, tetapi setakat yang saya faham, ia termasuk penghantaran bekalan yang sedang dalam perjalanan,” katanya.
“Sebab itu kita yakin bekalan untuk bulan Jun sudah terjamin, dengan perjanjian sedia ada yang memastikan ketersediaan sekurang-kurangnya hingga bulan tersebut.”
‘Kesan mungkin berkekalan’
Akmal berkata konflik berterusan di Timur Tengah berpotensi memberi kesan struktur jangka panjang kepada rantaian bekalan tenaga global, dan keadaan mungkin tidak akan kembali seperti sebelum krisis.
Beliau menambah Malaysia mungkin perlu menilai semula strategi mendapatkan bekalan tenaga, memandangkan kilang penapisan di Timur Tengah boleh mengambil masa sehingga 18 bulan untuk pulih atau dibina semula selepas ditutup atau rosak akibat serangan.
“Adakah kita masih boleh bergantung kepada kaedah lama untuk menjamin bekalan tenaga? Secara logiknya, keadaan sudah berubah,” katanya.
“Ada yang berharap situasi akan kembali normal seperti dahulu. Tetapi berdasarkan apa yang berlaku dan kesan berantaian yang terhasil, ini bukan lagi sesuatu yang sementara.
“Mungkin kerosakan ini bersifat kekal, dan keadaan ini boleh menjadi norma baharu selepas konflik.”
Harga bahan api melonjak sejak konflik Timur Tengah bermula pada akhir Februari, sebahagian besarnya akibat gangguan di Selat Hormuz — laluan penting yang mengendalikan lebih 20% bekalan minyak global — serta serangan ke atas kilang penapisan di rantau itu.
Gencatan senjata antara Amerika Syarikat dan Iran minggu lalu pada awalnya meningkatkan harapan bahawa aliran minyak melalui laluan tersebut akan pulih, dengan harga minyak mentah jatuh lebih 15% ke bawah USD100 setong.
Namun, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kemudiannya mengumumkan sekatan di Selat Hormuz, sekali gus menambah ketidaktentuan bagi syarikat perkapalan, syarikat minyak dan penyedia insurans.