Hanya 123 hektar di Pulau Sebatik milik Indonesia bukan 127, kata menteri

Hanya 123 hektar di Pulau Sebatik milik Indonesia bukan 127, kata menteri

Arthur Joseph Kurup berkata penyelarasan sempadan dengan Indonesia dibuat secara bersama tanpa jejaskan kedaulatan.

Arthur Joseph Kurup
Arthur Joseph Kurup berkata penentuan sempadan darat di Pulau Sebatik berasaskan Boundary Convention 1891. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Arthur Joseph Kurup menafikan dakwaan 127.3 hektar Pulau Sebatik ‘kini milik Indonesia’, sambil menegaskan penyelarasan sempadan yang dimuktamadkan bersama Jakarta itu tidak menjejaskan kedaulatan negara.

Malah beliau menjelaskan penyelarasan itu menyaksikan Malaysia memperoleh pertambahan wilayah.

Arthur berkata laporan media bertarikh 15 April itu tidak tepat serta tidak selaras dengan rekod rasmi yang dipersetujui antara Malaysia dan Indonesia, susulan penyelesaian persempadanan yang telah melalui rundingan panjang sejak beberapa dekad lalu.

Menurutnya, penjajaran semula sempadan di Pulau Sebatik adalah sebahagian daripada penyelesaian menyeluruh yang turut melibatkan kawasan Sungai Sinapad dan Sungai Sesai, di mana Malaysia memperoleh tambahan wilayah seluas 780 hektar, selain 5 hektar lagi di Pulau Sebatik

“Kawasan seluas 123 hektar yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia kini berada dalam wilayah Indonesia,” katanya dalam kenyataan.

Rabu lalu, media melaporkan Ketua Staf Presiden (KSP) Indonesia, M Qodari memaklumkan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia, kini sah milik Indonesia.

Qodari dipetik berkata, perubahan itu adalah hasil diplomasi berhubung penyelesaian sempadan darat antara Indonesia dengan Malaysia.

Mengulas lanjut, Arthur berkata penentuan sempadan darat di Pulau Sebatik adalah berasaskan Boundary Convention 1891 yang menetapkan jajaran sempadan di sepanjang garisan latitud 4 darjah 10 minit utara.

Katanya, semakan teknikal bersama pada 1983 mendapati ada perbezaan antara jajaran sempadan di lapangan dan perjanjian asal, yang kemudian membawa kepada rundingan selama 35 tahun sebelum mencapai penyelesaian pada 2018.

“Kerja siasatan, penandaan dan pengukuran semula dilaksanakan secara bersama pada 2019 menggunakan teknologi moden bagi memastikan jajaran sempadan ditentukan dengan tepat selaras prinsip konvensyen asal,” katanya.

Beliau berkata pemuktamadan jajaran sempadan itu dimeterai melalui memorandum persefahaman antara Malaysia dan Indonesia pada 18 Feb 2025, sekali gus menandakan pencapaian penting hasil rundingan dan kerjasama teknikal lebih 45 tahun.

Arthur turut menegaskan keseluruhan proses itu dilaksanakan berdasarkan persetujuan bersama, selaras undang-undang antarabangsa serta tidak melibatkan prinsip pampasan, timbal balik atau pertimbangan untung-rugi.

Tambahnya, kerajaan Sabah sentiasa dilibatkan dalam setiap peringkat rundingan melalui wakil Jabatan Ketua Menteri, pejabat Peguam Besar negeri dan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.

“Pemuktamadan ini memberikan kepastian dari segi perundangan dan pentadbiran, sekali gus membolehkan penyampaian perkhidmatan kerajaan, pengurusan keselamatan serta perancangan pembangunan dilaksanakan dengan lebih teratur,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.