
Aizuddin Abd Gaffal berkata Rafizi dan Nik Nazmi seharusnya berpegang kepada prinsip tanggungjawab bersama seperti yang ditetapkan dalam Kod Etika anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen.
Aizuddin, setiausaha politik kepada Ramanan, berkata lanjutan kontrak FWCMS sehingga 2031 telah diluluskan pada 24 Jun 2024 di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri, ketika kedua-dua Ahli Parlimen itu masih menjadi anggota Kabinet.
“Pada ketika itu, mereka yang kini lantang mengkritik masih anggota Kabinet yang mempunyai kuasa, akses kepada maklumat serta berkongsi tanggungjawab dalam proses membuat keputusan,” katanya dalam kenyataan.
“Jika kelemahan yang mereka dakwa sekarang benar-benar serius, mengapa perkara ini tidak dibangkitkan ketika mereka masih berada dalam badan pembuat keputusan (Kabinet)?
“Mengapa isu ini hanya diketengahkan sekarang? Ini bukan soal perbezaan pandangan — tetapi soal konsistensi dan integriti dalam politik.”
Rafizi, Ahli Parlimen Pandan, dan Nik Nazmi, Ahli Parlimen Setiawangsa, masing-masing meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi serta menteri sumber asli dan kelestarian alam, tahun lalu.
Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi bersama lapan lagi Ahli Parlimen PKR membantah cadangan pelaksanaan Universal Recruitment Advanced Platform (TURAP), dengan alasan ia tidak diperlukan memandangkan sudah ada platform kerajaan sedia ada dan bakal dibangunkan.
Mereka berkata kerajaan sepatutnya menggunakan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang dirancang dan dijangka beroperasi menjelang 2028.
Mereka mengulas laporan bahawa Kementerian Sumber Manusia mencadangkan pelaksanaan Turap yang dibangunkan Bestinet Sdn Bhd, syarikat yang kini mengendalikan FWCMS.
Mereka turut mendakwa FWCMS telah beroperasi lebih enam tahun tanpa kontrak yang ditandatangani, selain kelemahan kawalan sistem yang membolehkan pengguna tidak sah meluluskan permohonan majikan.
Aizuddin berkata Rafizi dan Nik Nazmi tidak membangkitkan sebarang bantahan mengenai FWCMS dan NIISe selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menimbulkan isu kemungkinan pertindihan antara kedua-dua sistem tersebut.
“Kenyaataan mereka bukan sahaja mengelirukan orang ramai, malah turut memalukan lapan lagi Ahli Parlimen yang sehaluan dengan mereka kerana dilihat gagal membezakan fungsi asas sistem pengambilan pekerja asing, FWCMS, dan NIISe,” katanya.
Kementerian Sumber Manusia berkata pihaknya sedang meneroka pembangunan platform digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi menambah baik ekosistem pengambilan pekerja asing, sambil menambah bahawa semua cadangan termasuk Turap masih dalam perincian dan belum ada keputusan muktamad dibuat.