Reformasi pengambilan pekerja migran harus telus, NGO beritahu kerajaan

Reformasi pengambilan pekerja migran harus telus, NGO beritahu kerajaan

Tenaganita kata kerajaan mesti menyatakan sama ada syarikat seperti Bestinet akan terlibat dalam mana-mana sistem pengambilan pekerja pada masa depan.

foreign workers in dormitory pekerja asing asrama
Aktivis kata “jikalau baling batu lalu terkena mana-mana pekerja migran, terdapat kemungkinan besar mereka mangsa buruh paksa”. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Putrajaya mesti telus mengenai sebarang keputusan melibatkan reformasi sistem pengambilan pekerja migran dan mengadakan perundingan dengan semua pihak berkepentingan, menurut dua kumpulan hak asasi buruh.

Gesaan itu dibuat selepas Menteri Sumber Manusia, R Ramanan, pada Khamis menolak laporan Bloomberg yang mendakwa Malaysia merancang untuk menerima pakai sistem pengambilan pekerja asing baharu yang dibangunkan oleh Bestinet Sdn Bhd.

Ramanan menyifatkan laporan itu sebagai tidak disahkan serta tidak tepat, dan menyatakan laporan tersebut mengandungi butiran yang tidak diketahuinya sebagai menteri yang bertanggungjawab membentangkan cadangan-cadangan kepada Jemaah Menteri.

Tenaganita berkata kerajaan mesti menyatakan dengan jelas sama ada syarikat seperti Bestinet akan terlibat dalam mana-mana sistem pengambilan pekerja pada masa depan.

Penjelasan ini perlu memandangkan Malaysia mempunyai sejarah panjang dan bermasalah berkaitan sistem pengambilan yang tidak telus, monopoli, dan perantara swasta yang mengaut keuntungan daripada buruh migran.

“Kita telah lihat terlalu banyak kitaran sistem yang diperkenalkan tanpa perundingan sewajarnya, dan hasilnya adalah kos yang lebih tinggi, belenggu hutang, dan eksploitasi pekerja,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.

“Kerajaan mesti komited pada sistem berasaskan hak yang telus dan tertakluk pada pemantauan bebas — bukan sistem yang didorong oleh kepentingan komersial swasta.”

Pengarah Eksekutif North-South Initiative, Adrian Pereira, berkata rekod prestasi Malaysia dalam perlindungan pekerja migran sangat lemah hinggakan “jikalau baling batu lalu terkena mana-mana pekerja migran, terdapat kemungkinan besar mereka mangsa buruh paksa”.

Beliau berkata kerajaan mesti telus sepenuhnya mengenai keputusan berhubung reformasi pengambilan pekerja, dan menambah bahawa terdapat kekurangan penglibatan dengan pihak berkepentingan, terutama komuniti migran.

“Sesi libat urus telah lama tidak diadakan. Jadi apa yang sebenarnya berlaku?” katanya kepada FMT.

Laporan Bloomberg, memetik sumber yang tidak dinamakan, berkata satu platform pengambilan pekerja baharu sedang dalam perancangan, atas cadangan kontrak selama 12 tahun. Dikenali sebagai ‘Universal Recruitment Advanced Platform’ atau ‘Turap’, ia membolehkan majikan mengambil pekerja secara terus melalui portal digital, dengan firma membayar kira-kira USD1,000 bagi setiap permohonan.

Tenaganita berkata walaupun pengurangan orang tengah dapat membantu mengekang penganiayaan oleh ejen pengambilan, pengambilan terus tanpa perlindungan yang kukuh boleh menyebabkan eksploitasi beralih daripada ejen kepada majikan.

Ia mengingatkan bahawa majikan boleh mengambil pekerja tanpa kebertanggungjawaban sewajarnya, manakala pekerja masih boleh dibebankan dengan yuran tersembunyi melalui saluran tidak rasmi, menyebabkan mereka berhutang sebelum mula bekerja.

“Pengambilan pekerja secara langsung semata-mata tidak menamatkan eksploitasi. Apa yang diperlukan adalah dasar migrasi buruh kebangsaan yang tuntas dan berasaskan bukti yang melindungi pekerja di setiap peringkat,” katanya.

Tambahnya, pekerja tidak boleh dibebankan dengan yuran bagi pengambilan mereka, kontrak pekerjaan mesti diseragamkan serta boleh dikuatkuasakan, dan mekanisme aduan bebas yang berkesan mesti disediakan.

Pereira juga berkata pengaturan pengambilan pekerja kerajaan-ke-kerajaan (G2G) dengan Dhaka sebelum ini masih melibatkan perantara dan tidak benar-benar menjadi sistem pengambilan pekerja secara langsung.

Beliau berkata perundingan yang lebih luas diperlukan, terutama melalui Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan, yang sepatutnya berfungsi sebagai platform tiga pihak bagi perbincangan dasar buruh.

Ramanan berkata Bestinet mengendalikan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) sejak 2011, dan ia digunakan oleh pelbagai kementerian.

Beliau berkata sistem itu telah terbukti berkesan, termasuk menangkis serangan siber semasa pandemik Covid-19, dan menerima pengiktirafan antarabangsa, termasuk anugerah berkaitan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Bagaimanapun, Tenaganita dan Pereira mempertikaikan dakwaan tersebut, dengan menarik perhatian kepada kes pekerja migran yang dilaporkan membayar yuran pengambilan sehingga RM25,000, manakala yang lain tiba tanpa permit kerja yang sah, atau tanpa aturan penginapan serta pekerjaan yang sewajarnya.

“Sesuatu sistem mungkin kukuh dari segi teknologi tetapi pada dasarnya tetap tidak adil. Pendigitalan tidak boleh disalah anggap sebagai reformasi,” kata Tenaganita.

Bestinet kini sedang menghadapi penelitian undang-undang, dengan Bangladesh dilaporkan meminta bantuan Malaysia untuk menahan dan mengekstradisi pengasasnya, Aminul Islam, dan rakan sekutu, Ruhul Amin, atas dakwaan pengubahan wang haram, pemerasan dan aktiviti berkaitan pemerdagangan manusia.

Aminul menafikan dakwaan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.