Pengerusi Lembaga Jurukur Tanah didakwa salah guna kedudukan babit RM136,000

Pengerusi Lembaga Jurukur Tanah didakwa salah guna kedudukan babit RM136,000

Hazri Hassan didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Lembaga Jurukur Tanah di Pusat Bandar Melawati antara 3 Ogos dan 31 Dis 2024.

Hazri Hassan
Hazri Hassan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Lembaga Jurukur Tanah (LJT), Hazri Hassan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan dana lebih RM136,000 demi kepentingan peribadi.

Ketua pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) yang berusia 57 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas dua pertuduhan dibacakan di depan Hakim Suzana Hussin.

Dia didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi LJT untuk mendapatkan RM136,115.16 dengan menyertai mesyuarat lembaga yang membincangkan kehadirannya di forum antarabangsa di Arab Saudi dan Amerika Syarikat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat LJT di Pusat Bandar Melawati antara 3 Ogos dan 31 Dis 2024.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan.

Hakim membenarkan Hazri diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin, selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Jun ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, manakala peguam Amin Othman mewakili Hazri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.