
Titahnya ia bagi memastikan kelangsungan tadbir urus negeri berjalan dengan teratur serta memelihara kepentingan rakyat.
Tuanku Muhriz juga menegaskan keabsahan persidangan DUN Negeri Sembilan yang dirasmikan baginda hari ini tidak terjejas tanpa kehadiran pembesar negeri.
“Ketidakhadiran pembesar negeri yang lazimnya mengiring beta pada setiap perasmian persidangan DUN tidak menjejaskan keabsahan mahupun kelancaran persidangan ini.
“Sehubungan itu, pentadbiran kerajaan negeri wajar diteruskan dan berfungsi seperti biasa demi memastikan kelansungan tadbir urus yang teratur serta kepentingan rakyat sentiasa terpelihara,” titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat DUN Ke-15 di sini hari ini.
Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, bagaimanapun tidak hadir ke persidangan itu.
Semalam, Bernama melaporkan secara lazimnya, majlis turut dihadiri Tunku Besar Tampin dan Undang yang empat namun susulan kemelut berlaku baru-baru ini, kehadiran mereka mencetuskan tanda tanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun memaklumkan tindakan Mubarak Dohak yang menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz di Balai Undang Luak Sungei Ujong tidak boleh diterima atau diiktiraf.
Aminuddin berkata ini kerana Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.