Pengisytiharan turunkan Yang Dipertuan Besar N Sembilan tak sah, menderhaka, kata Telaga Undang

Pengisytiharan turunkan Yang Dipertuan Besar N Sembilan tak sah, menderhaka, kata Telaga Undang

Sarifah Norzaidah Al-Qadri berkata tindakan bekas Undang Luak Sungei Ujong Mubarak Dohak itu sebagai penderhakaan kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan wajar diambil tindakan undang-undang.

TUANKU MUHRIZ TUANKU MUNAWIR
Langkah membuat pengisytiharan menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tidak sah, selain tidak selaras Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tindakan bekas Undang Luak Sungei Ujong, Mubarak Dohak, menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungai Ujong, semalam, sebagai tidak sah.

Telaga Undang, Sarifah Norzaidah Al-Qadri, berkata malah tindakan Mubarak itu sebagai penderhakaan dan sewajarnya diambil tindakan undang-undang.

Katanya, ini kerana Mubarak sudah diberhentikan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra, sejak 13 Mei 2025 dan sidang Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April telah menasihat pemberhentiannya.

“Justeru, tindakan Mubarak menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungai Ujong sebagai tidak sah kerana beliau sudah tiada kuasa dari segi adat dan perlembagaan.

“Tindakan Mubarak itu penderhakaan terhadap Tuanku Muhriz dan sewajarnya diambil tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu serta anak-anak waris Klana Hulu juga tidak pernah memberikan mandat kepada Mubarak untuk bertindak demikian.

Dalam pada itu, Menteri Besar Aminuddin Harun dalam kenyataan memaklumkan Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

“Saya ingin memaklumkan bahawa fungsi DKU Negeri Sembilan ialah berperanan sebagai badan penasihat atas perkara berkaitan adat istiadat orang Melayu termasuk soal pemilihan dan perlucutan jawatan Undang Luak yang empat seperti diperuntukkan dalam Perkara 16 UUTKNS.

“Ini termasuk dalam urusan pemberhentian seseorang Undang Luak daripada memegang pesaka mengikut adat luaknya mengikut Fasal 14(3) UUTKNS,” katanya menurut Bernama.

Aminuddin berkata, nasihat penerimaan oleh DKU terhadap pemberhentian penyandang pesaka Datuk Undang Luak di Negeri Sembilan juga pernah dilaksanakan sebelum ini apabila penyandang pesaka Undang Luak Johol ke-14 Mohammad Jan Abdul Ghani diberhentikan pada 27 Mac 2016 atas 13 kesalahan berkaitan pesaka dan adat Luak Johol.

Jumaat lalu, DKU menerima pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Undang Luak Sungei Ujong susulan sidang khas yang diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah yang dipengerusikan Tuanku Muhriz.

Aminuddin dilaporkan berkata pada sidang khas itu, Tuanku Muhriz menguatkuasakan Fasal 24 UUTKNS 1959 dengan menjemput Ibu Soko Klana Hulu dan Waris Klana Hulu untuk turut bersama ke sidang khas berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.