
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri hanya berperanan sebagai pemegang taruh penting dalam projek tersebut dan terlibat dalam Jawatankuasa Procurement One-Stop Centre.
“Apabila MRT Corp sudah membuat penilaian dan akan membuat syor kepada One-Stop Procurement Centre ini, jadi saya boleh katakan belum sampai untuk buat tawaran lagi.
“Saya percaya mereka masih menilai tender yang mereka terima,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kampus Automasi, Ujian dan Peralatan (ATE) Pulau Pinang.
Beliau mengulas laporan mendakwa berlaku kelewatan dalam proses tawaran Pakej 2 bagi projek LRT Laluan Mutiara susulan campur tangan dan lobi politik.
Dalam pada itu, Chow menolak dakwaan bahawa projek berkenaan mengalami kelewatan memandangkan pelaksanaan projek masih berjalan mengikut jadual yang ditetapkan tanpa sebarang gangguan.
LRT Laluan Mutiara yang memulakan pembinaan pada 2025 dan dijangka beroperasi pada Disember 2031 akan merentasi laluan sejauh 29.67km dengan 20 stesen serta dua stesen sementara.
Bekalan air
Dalam perkembangan lain, Chow berkata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah berhubung dengan pihak berkuasa di Kedah bagi menyelaras langkah segera susulan paras air Sungai Muda yang kini berada pada paras bahaya.
Beliau berkata pelepasan air dari Empangan Beris, Kedah dicadangkan sebagai langkah jangka pendek bagi mengatasi penyusutan paras Sungai Muda.
“Dalam masa sama, Pulau Pinang akan meneruskan pengeluaran air dari Empangan Mengkuang untuk menampung keperluan semasa dan bagi memastikan bekalan air tidak terjejas,” katanya.
Chow berkata Pulau Pinang berharap pembenihan awan dapat dilaksanakan di kawasan hulu di Kedah sebagai langkah segera meningkatkan paras air Sungai Muda bagi memastikan sumber air mentah mencukupi.
Paras air di Sungai Muda dilaporkan mencecah tahap bahaya iaitu pada 1.27m di muka sauk Lahar Tiang pada 4.30 petang semalam, jauh lebih rendah berbanding paras selamat 2m.