
Terletak pada ketinggian 5,364m dari paras laut, Thamayanthi Thevy Thiagrajan, 47, berkata ekspedisi sembilan hari itu sangat menguji ketahanan fizikal, disiplin dan kekuatan mental.
Perjalanan itu, menurut Thamayanthi membawanya melalui lereng gunung dan perkampungan di Himalaya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu daripada hujan, salji dan juga panas untuk tempoh singkat sepanjang pendakian.
“Ini pengalaman pertama saya di situ dengan mengikut sebuah kumpulan pengembaraan yang disertai 10 individu. Malangnya, beberapa peserta tidak dapat menamatkan pendakian disebabkan masalah kesihatan.
“Kami pada awalnya dimaklumkan suhu lebih panas (pada April berbanding musim lain) namun cuaca sering berubah menjadikan perjalanan lebih mencabar,” katanya dan menambah ekspedisi bermula pada 5 April.
Thamayanthi berkata, mereka mendaki kira-kira tujuh jam setiap hari sebelum berehat.
Berdepan suhu sejuk dan udara yang semakin nipis, wanita itu menyifatkan pendakian itu sebagai sangat menguji fizikal dengan setiap langkah memerlukan fokus dan kawalan.
“Saya kekal fokus sepanjang masa. Saya tahu ia akan menjadi sukar tetapi saya sudah bersedia,” katanya.
Wanita itu berkata memulakan latihan kecergasan beberapa bulan lebih awal menerusi latihan mendaki secara konsisten untuk meningkatkan stamina dan menyesuaikan diri dengan keadaan gunung.
Usaha itu membuahkan hasil apabila beliau berjaya mencapai matlamat di Kem Pangkalan Everest.
“Semua kerja keras itu berbaloi apabila saya dapat melihat Gunung Everest untuk kali pertama. Ia detik yang sangat luar biasa,” katanya.
Kem Pangkalan Everest berfungsi sebagai pusat persediaan utama untuk pendaki yang ingin menawan puncak tertinggi dunia setinggi 8,848m itu dan kekal sebagai destinasi popular dalam kalangan pendaki dari seluruh dunia.