
Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan berkata, pameran itu antara inisiatif utama memperingati hubungan dua hala yang terjalin sejak 24 April 1986.
Pameran terbuka kepada orang ramai dari 5 hingga 9 Mei ini di Ruang Pameran, Aras 1, Anjung Bestari, PNM.
Katanya, program itu bertujuan memperkukuh diplomasi kebudayaan selain memperkenalkan keagungan Tamadun Inca sebagai antara warisan sejarah penting dunia.
“Ia turut berperanan sebagai platform pembudayaan ilmu dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kepelbagaian budaya antarabangsa,” katanya.
Pameran merangkumi dua segmen ekslusif iaitu ‘The Great Inca Road’ (Qhapaq Ñan) menampilkan dokumentasi visual sistem jalan raya purba sepanjang kira-kira 40,000km merentasi kawasan seluas dua juta kilometer persegi, yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco pada 2014.
Manakala, ‘Peruvian Chroniclers in the 16th Century’ pula
mengetengahkan perspektif tokoh peribumi Felipe Guaman Poma de Ayala mengenai transformasi sosial dan budaya ketika era Empayar Inca serta kesan penjajahan Sepanyol pada abad ke-16.
Kementerian menyeru orang ramai merebut peluang menghadiri pameran berkenaan sebagai wadah memperluas pengetahuan serta meningkatkan apresiasi terhadap sejarah dunia dan warisan tamadun negara lain.
“Pendedahan ini bukan sahaja memperkaya pemahaman terhadap kepelbagaian budaya global, malah menyuburkan nilai saling menghormati serta memperkukuh persefahaman antara masyarakat pelbagai latar,” katanya.