Hospital Tuanku Fauziah kini ada unit pakar respiratori

Hospital Tuanku Fauziah kini ada unit pakar respiratori

Lebih 500 pesakit dijangka mendapat manfaat daripada penubuhan Unit Perubatan Respiratori di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian ‘Suit Intervensi Pulmonologi dan Makmal Respiratori di Unit Perubatan Respiratori, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar. (Gambar MAIPs)
PETALING JAYA:
Lebih 500 pesakit setahun dijangka mendapat manfaat daripada penubuhan Unit Perubatan Respiratori di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), sekali gus mengurangkan keperluan mendapatkan rawatan khusus di Alor Setar atau Pulau Pinang.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan Suit Intervensi Pulmonologi dan Makmal Respiratori di unit berkenaan, semalam.

Majlis perasmian diadakan sempena program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis di sekitar Kangar.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Dalaman Maju dan Akut serta Ultrasound Malaysia Dr Paras Doshi berkata perkhidmatan itu merangkumi bronkoskopi, pleuroskopi dan teknologi “whole body plethysmography”.

Paras turut menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan Raja Muda Perlis dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan negeri.

Kemudahan baharu itu menandakan permulaan era baharu perkhidmatan respiratori di Perlis, terutama bagi rawatan penyakit paru-paru dan sistem pernafasan.

Sebelum ini, ramai pesakit perlu ke Alor Setar atau Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan respiratori khusus, sekali gus menambah beban kepada pesakit dan keluarga.

Dengan adanya unit itu, saringan dapat dibuat lebih awal, tempoh menunggu dipendekkan dan rawatan dimulakan dengan lebih cepat.

Pada program sama, Tuanku Syed Faizuddin turut menyampaikan sumbangan zakat MAIPs kepada tiga asnaf terpilih, iaitu Che Yam Jamaluden, 71, Che Mah Che Pin, 92, dan Madina Musa, 75.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.