
Hakim Mahkamah Tinggi Taiping Noor Ruwena Md Nurdin menjatuhkan hukuman itu ke atas bekas tentera Mohd Hafidz Ibrahim, 39, dan ahli perniagaan Muhammad Ahmad Md Yusoff, 35, kerana membunuh Mohd Zaki Md Aluwee, 42, di kawasan hutan di Jalan Kubu Gajah-Lenggong di Selama, Perak, pada 10 Okt 2021.
Noor Ruwena berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap dua lelaki itu, dan hukuman mati dijatuhkan dengan mengambil kira keseriusan kesalahan.
“Berdasarkan keseluruhan keterangan dikemukakan pihak pendakwaan, mahkamah mendapati keterangan tersebut apabila diambil secara kolektif menunjukkan kedua-dua tertuduh sebagai pelaku jenayah itu,” katanya, menurut penghakiman bertarikh semalam, lapor Bernama.
Noor Ruwena berkata, Mohd Hafidz mempunyai motif untuk membunuh mangsa kerana beranggapan lelaki itu mempunyai hubungan sulit dengan bekas isterinya, selain dia sukar menerima kenyataan mereka telah bercerai.
Katanya, pembunuhan itu dirancang yang dibuktikan oleh cara si mati diserang dan tahap kecederaan dialami, menunjukkan niat jelas untuk menyebabkan kematian serta-merta dan kecederaan pada belakang badan si mati bertujuan memastikan dia meninggal dunia.
Menurut siasatan juga, pada September 2021, selepas bercerai, Mohd Hafidz bersemuka dengan bekas isterinya mengenai hubungannya dengan mangsa, yang juga bekas pegawai tentera. Wanita itu bagaimanapun menafikan tuduhan itu sekeras-kerasnya
Noor Ruwena juga mendapati Muhammad Ahmad turut terlibat dalam jenayah itu kerana hadir ketika si mati dibawa pergi dari rumahnya sehingga dia kali terakhir dilihat bersama-sama si mati semasa Mohd Hafidz meninggalkan rumah dengan seorang rakannya.
Katanya, Muhammad Ahmad membawa polis ke lokasi penemuan mayat si mati dua hari selepas dia dilaporkan hilang.
Mengikut fakta kes, tangan si mati digari ke belakang dan kelihatan beberapa kesan tikaman pada mayatnya yang telah mereput.