Tenaga, bahan mentah tak datangkan risiko tinggi bagi industri semikonduktor

Tenaga, bahan mentah tak datangkan risiko tinggi bagi industri semikonduktor

Malaysia pengimport bersih minyak, serta pengeksport bersih gas, dengan rizab mencukupi sokong pengembangan perindustrian, kata Johari Abdul Ghani.

semiconductor
Walaupun terdapat ketidakpastian global, Johari Abdul Ghani berkata, sentimen pelabur terhadap sektor semikonduktor Malaysia kekal menggalakkan.
KUALA LUMPUR:
Malaysia melihat bekalan tenaga atau kekurangan bahan mentah tidak mendatangkan risiko tinggi kepada industri semikonduktor pada peringkat ini, disokong oleh statusnya sebagai pengeksport gas bersih, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, Malaysia merupakan pengimport bersih minyak, pada masa sama pengeksport bersih gas, dengan rizab yang mencukupi untuk menyokong pengembangan perindustrian.

“Ketika ini, kita melihatnya sebagai sesuatu yang tidak perlu dibimbangi,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Semicon Asia Tenggara 2026 hari ini.

Johari berkata, Malaysia kini mengeksport sebahagian besar gas lebihannya, bagaimanapun terdapat potensi untuk menggunakan sumber domestik dengan lebih baik untuk menyokong pembangunan perindustrian, termasuk sektor intensif tenaga.

Mengenai risiko bekalan melibatkan bahan mentah yang mungkin berlaku seperti helium, digunakan dalam pengeluaran semikonduktor, beliau berkata, keadaan masih boleh diuruskan buat masa ini tetapi tertakluk kepada perkembangan global.

“Satu-satunya masalah adalah sesiapa yang mendapat bekalan dari Asia Barat, selagi peperangan berlaku, anda akan dapat melihat kekurangan bekalan itu,” katanya.

Walaupun terdapat ketidakpastian global, Johari berkata, sentimen pelabur terhadap sektor semikonduktor negara kekal menggalakkan, dengan syarikat-syarikat terus meneruskan rancangan mereka.

“Saya berpendapat kita mesti terus berinteraksi dengan mereka. Tetapi setakat ini, saya berpendapat semua orang (penggiat industri) sangat berminat untuk meneruskan,” katanya.

Beliau berkata, segmen semikonduktor kekal sebagai tonggak utama dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia, mencatatkan eksport kira-kira RM711 bilion pada 2025.

“Daripada RM711 bilion dalam sektor E&E, terdapat RM465 juta eksport semikonduktor. Menjelang 2030, semikonduktor sahaja dijangka mencapai saiz pasaran global kira-kira USD1 trilion (USD1=RM3.95). Justeru, banyak peluang untuk Malaysia pada masa depan.

“Malaysia mesti memperkukuh ekosistem semikonduktornya untuk merebut peluang pertumbuhan masa hadapan dan kekal berdaya saing dalam landskap global yang berkembang,” katanya.

Johari berkata, industri itu bernilai kira-kira USD630 bilion pada 2024, dijangka berkembang pesat, didorong kebanyakannya oleh lonjakan infrastruktur kecerdasan buatan, termasuk permintaan untuk pusat data berprestasi tinggi, pelayan (server) dan peralatan rangkaian untuk menyokong trafik data yang semakin meningkat.

Sementara itu, Johari berkata, walaupun Malaysia telah mewujudkan keupayaan kukuh dalam segmen bahagian belakang, terdapat keperluan yang semakin meningkat untuk berkembang ke dalam kegiatan bahagian hadapan seperti fabrikasi wafer.

Katanya, usaha menarik pelaburan asing akan terus memainkan peranan penting dalam mempercepatkan cita-cita negara dalam pembuatan semikonduktor bernilai tinggi.

“Sehubungan itu, jika kita belum bersedia untuk melakukannya, maka kita perlu menjemput pelabur untuk datang. Infineon adalah salah satu contoh, mereka telah datang untuk melakukan fabrikasi wafer di Kulim,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Johari berkata, Malaysia telah mula memperuntukkan token teknologi yang diperoleh di bawah perjanjiannya dengan Arm Holdings untuk mempercepatkan keupayaan reka bentuk litar bersepadu (IC) domestik dan memperkukuh kerjasama industri.

“Kita mempunyai reka bentuk IC asas, kira-kira 25 token telah mereka berikan kepada kami. Baigi yang termaju pula, kita mempunyai tujuh.

“Daripada tujuh, kita telah memberikan tiga kepada beberapa pemain industri supaya mereka bekerjasama dengan syarikat tempatan,” katanya.

Bagi peruntukan reka bentuk IC asas, kira-kira lima syarikat sedang terlibat ketika ini, pelancarannya masih berjalan, Malaysia mempunyai tempoh masa empat tahun untuk menggunakan sepenuhnya token dan mengenal pasti rakan kongsi yang sesuai untuk memaksimumkan penggunaannya, katanya.

Perjanjian dengan Arm Holdings telah dimeterai untuk menyediakan akses kepada harta intelek semikonduktor syarikat itu kepada Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.