
Presidennya, Dr R Thirunavukarasu, berkata pekeliling mengenai waktu kerja yang dikeluarkan semalam oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Mahathar Abd Wahab hanyalah peringatan terhadap arahan sedia ada.
Beliau berkata hakikat arahan itu perlu ditekankan semula memberi gambaran jelas bahawa pelaksanaannya masih belum dipatuhi secara konsisten di peringkat lapangan.
Katanya, laporan mengenai pegawai perubatan siswazah yang bekerja sehingga 85 jam seminggu amat membimbangkan.
“Ini bukan sekadar isu kebajikan. pegawai perubatan siswazah berada di hospital untuk menjalani latihan sebagai doktor yang cekap, kompeten dan selamat.
“Apabila mereka keletihan, keupayaan mereka untuk belajar akan terjejas. Pada masa yang sama, keselamatan pesakit juga boleh terancam,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, keutamaan segera adalah jelas: had maksimum 60 hingga 62 jam seminggu mesti dikuatkuasakan sepenuhnya, bukan sekadar di atas kertas.
“Pengarah hospital perlu dipertanggungjawabkan dalam memastikan perkara ini dilaksanakan,” katanya.
Thirunavukarasu berkata pengarah hospital tidak sepatutnya perlu diingatkan mengenai keperluan menghormati hak cuti pegawai perubatan siswazah kerana ia merupakan hak di bawah peraturan sedia ada.
Beliau berkata menafikan hak tersebut, atau menggantikannya dengan cara lain, adalah tidak boleh diterima.
Beliau turut berkata dalam jangka masa panjang Kementerian Kesihatan perlu mengkaji semula had waktu kerja mingguan itu, sambil menambah bahawa bekerja 60 jam seminggu masih terlalu membebankan untuk petugas kesihatan awam.
“Pendirian MMA konsisten – Malaysia perlu bergerak ke arah maksimum 48 jam, dan akhirnya 45 jam seminggu.
“Untuk mencapainya, kita mesti menangani isu sistemik yang menyebabkan waktu kerja panjang terus berlarutan, termasuk kekurangan doktor, nisbah penjawatan yang tidak mencukupi, serta sistem yang sekian lama tidak disediakan sumber secukupnya untuk berfungsi dalam tempoh kerja yang lebih berperikemanusiaan,” katanya.