Ahli PN diingatkan henti kritik rakan gabungan secara semberono

Ahli PN diingatkan henti kritik rakan gabungan secara semberono

Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli perlu menggunakan saluran organisasi yang betul.

Perikatan Nasional
Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata segala masalah dalaman PN akan dikendalikan secara tertutup dengan pendekatan lebih bijaksana.
PETALING JAYA:
Pimpinan dan ahli parti anggota Perikatan Nasional (PN) diseru menghentikan kritikan terbuka yang tidak wajar terhadap rakan komponen dalam gabungan.

Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata, rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli tidak seharusnya dihamburkan di ruang awam, sebaliknya perlu menggunakan saluran organisasi yang betul.

“PN mengingatkan semua pimpinan dan ahli parti-parti anggotanya supaya tidak membuat sebarang kritikan yang tidak wajar secara semberono kepada mana-mana parti komponen PN lain sama ada melalui media mahupun sebarang saluran lain.

“Sebarang ketidakpuasan hati haruslah disalurkan kepada saluran parti masing-masing yang kemudian akan dibawa, dibincangkan dan diputuskan secara musyawarah di dalam gabungan,” katanya dalam kenyataan tanpa memperincikan lebih lanjut.

Takiyuddin berkata, kepimpinan PN kini mahu menumpukan segala usaha dan tenaga kepada isu lebih besar melibatkan kepentingan negara dan rakyat, berbanding melayan pertelingkahan dalaman.

Katanya, segala masalah dalaman gabungan itu akan dikendalikan secara tertutup dengan pendekatan lebih bijaksana.

Semalam, wakil rakyat PAS Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi menyarankan Bersatu meninggalkan PN, dipercayai berkaitan tindakan parti itu memecat dan menggantung beberapa ahli.

Adun Sura itu menyifatkan perkembangan tersebut sebagai suatu ‘penyembelihan’.

Bersatu melancarkan pemecatan dan penggantungan keahlian beberapa ahli sejak 8 Mei atas alasan melanggar perlembagaan parti serta kod etika dan tatakelakuan ahli, rentetan kemelut dalaman yang menyaksikan Hamzah Zainudin disingkirkan sebagai timbalan presiden.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.