Krisis tenaga desak Malaysia percepat agenda WTE, kata pakar

Krisis tenaga desak Malaysia percepat agenda WTE, kata pakar

Azil Bahari Alias dari UiTM berkata loji sisa pepejal kepada tenaga perlu jadi strategi pengurusan sisa, ekonomi kitaran dan keselamatan tenaga.

Pembangunan sehingga 18 loji WTE di seluruh negara berpotensi jana tenaga sekitar 600 MW tenaga menjelang 2040.
PETALING JAYA:
Krisis di Timur Tengah yang menjejaskan pasaran tenaga dunia menunjukkan Malaysia tidak lagi boleh melihat teknologi loji sisa pepejal kepada tenaga (WTE) sebagai pilihan sampingan, kata pakar kejuruteraan kimia.

Azil Bahari Alias dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata sebaliknya WTE perlu menjadi antara teras utama strategi negara dalam pengurusan sisa dan pemacu kepada ekonomi kitaran serta transformasi tenaga negara.

Azil Bahari Alias
Azil Bahari Alias.

“WTE semakin penting ketika dunia berdepan ketidaktentuan bekalan bahan bakar kerana teknologi itu menggunakan sisa pepejal sebagai sumber tenaga utama dan tidak bergantung besar kepada bahan api fosil.

“WTE bukan sahaja menyelesaikan isu pelupusan sisa, malah menghasilkan bekalan tenaga stabil,” kata dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia UiTM itu kepada FMT.

Azil menerangkan loji berskala sederhana boleh memproses kira-kira 1,000 tan sisa sehari dengan menjana tenaga sekitar 20MW hingga 30MW elektrik yang mampu menampung keperluan puluhan ribu isi rumah.

“Perancangan pembangunan sehingga 18 loji WTE di seluruh negara dengan potensi penjanaan sekitar 600 MW tenaga menjelang 2040 bukan sahaja menyokong agenda tenaga boleh diperbaharui, malah selari sasaran 70% kapasiti menjelang 2050,” tambanya.

Beliau berkata loji WTE moden juga mampu mengurangkan sehingga 85% hingga 90% sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tanah yang semakin terhad.

Menurutnya, keperluan itu lebih mendesak di Selangor yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi dan menghasilkan jumlah sisa besar setiap hari, namun berdepan masalah kekangan tanah pada masa depan.

Tapak pelupusan sanitari terdedah kepada pencemaran dan kebakaran sukar dipadamkan seperti berlaku di Pulau Burung, Pulau Pinang, Mac lalu. (Gambar JBPM)

Menurutnya, dengan lebih 6 juta penduduk dan penghasilan sisa harian sekitar 7,000 hingga 8,000 tan, pendekatan pelupusan biasa tidak lagi mampan.

“Bagi negeri berpenduduk tinggi seperti Selangor, keperluan kepada WTE adalah kritikal dan tidak boleh ditangguhkan,” katanya.

Beliau berkata kekangan tanah, peningkatan kos operasi tapak pelupusan dan risiko pencemaran menjadikan WTE pilihan paling praktikal untuk negeri itu.

Sehubungan itu, katanya, pembangunan Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah (SIS) di Rawang amat penting untuk membantu Selangor mengurus sisa secara lebih berkesan dan pada masa sama menjana tenaga.

“WTE ialah penyelesaian utama yang praktikal, berskala besar dan berimpak tinggi untuk negeri seperti ini,” katanya.

Azil berkata teknologi itu juga boleh mengurangkan risiko pencemaran di tapak pelupusan sanitari, termasuk kebakaran sukar dipadamkan dengan merujuk insiden di Pulau Burung, Pulau Pinang.

Dalam kejadian Mac lalu itu, bomba bertarung 12 jam untuk memadam kebakaran di tapak pelupusan sanitari terbabit dan dilaporkan situasi sama turut berlaku sebelum ini.

“Seperti ditunjukkan dalam projek di Sungai Udang (Melaka), teknologi itu berpotensi mengurangkan lebih 250,000 tan pelepasan CO₂ (karbon dioksida) setahun,” katanya yang menyifatkan angka itu sebagai signifikan.

“Tanpa langkah berani hari ini, kos alam sekitar dan ekonomi pada masa hadapan akan menjadi jauh lebih besar.”

Bagaimanapun, beliau berkata kejayaan pelaksanaan WTE memerlukan pendekatan menyeluruh, termasuk penerimaan awam, pematuhan ketat terhadap piawaian pelepasan dan pengasingan sisa di punca.

“Dengan teknologi kawalan emisi terkini bertaraf antarabangsa, loji WTE moden mampu beroperasi dengan impak alam sekitar yang minimum dan terkawal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.