Chelsea lawan JDT di Johor Ogos depan

Chelsea lawan JDT di Johor Ogos depan

Juara Piala Kelab Dunia Fifa itu akan menentang juara Piala AFC 2015 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

poster
Perlawanan menentang JDT akan menjadi aksi terakhir Chelsea dalam jelajah pramusim mereka.
PETALING JAYA:
Juara Piala Kelab Dunia Fifa, Chelsea, akan menentang juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT), dalam perlawanan persahabatan pada 11 Ogos.

Perlawanan itu yang menjadi aksi pemanas badan penting buat Chelsea menjelang kempen musim 2026/27, akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Pertemuan tersebut juga bakal menjadi ujian terbaik buat juara Piala AFC, JDT, apabila berdepan sebuah kelab utama dari Eropah.

Aksi persahabatan itu dianjurkan oleh TEG Sport.

Chelsea, atau The Blues, yang baru-baru ini melantik bekas pengurus Real Madrid, Xabi Alonso, sebagai pengurus mereka, merupakan satu-satunya kelab yang pernah memenangi semua trofi utama dalam era moden.

Pengarah Operasi Bola Sepak Chelsea, Pete Nuttall, berkata mereka gembira dapat menyenaraikan perlawanan menentang JDT sebagai aksi terakhir dalam jelajah pramusim mereka, selain kembali ke Malaysia buat kali pertama sejak perlawanan persahabatan pada 2013.

“Bola sepak mempunyai pengikut yang sangat bersemangat di rantau ini, dan ini merupakan peluang hebat untuk penyokong kami di Malaysia serta seluruh Asia Tenggara menyaksikan pasukan beraksi sekali lagi menjelang musim baharu,” katanya seperti dipetik.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia, berkata mereka berbangga dan berbesar hati dapat menjadi tuan rumah kepada salah sebuah kelab utama Liga Perdana Inggeris.

Garcia berkata perlawanan itu bukan sahaja menjadi satu pencapaian penting buat JDT, malah turut mencerminkan kedudukan kelab itu yang semakin meningkat dalam bola sepak Asia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.