
PETALING JAYA: Pengarah sebuah syarikat keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas pertuduhan menganggotai Geng 24.
Berita Harian melaporkan Khairil Nizam Ghazlan, 45, memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Khairil didakwa menjadi anggota sebuah pertubuhan menyalahi undang-undang, Geng 24, di depan premis Lorong Seri Juru, Simpang Ampat, dekat Bukit Mertajam kira-kira 4.30 petang 16 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak lebih RM15,000, jika sabit kesalahan.
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 20 Julai ini.