
Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan, berkata sebarang ulasan di mana-mana saluran media atau komunikasi adalah tidak dibenarkan buat masa ini.
Sebaliknya, beliau meminta semua pihak kekal tenang dan menyerahkan perkara tersebut untuk dikendalikan Presiden Abdul Hadi Awang.
“Semua pihak diminta kekal tenang dan menyerahkan perkara seumpama ini kepada tuan guru presiden dan kepimpinan parti yang akan menguruskannya dengan cermat dalam waktu terdekat,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Hadi pada sidang media memberi amaran kepada Bersatu bahawa kesabaran ‘ada batas’ setelah PAS ‘mengkaji satu persatu tindakan Bersatu’, mengambil contoh situasi politik di Negeri Sembilan dan Perlis, serta pendirian berkenaan usaha membawa masuk parti tertentu dalam Perikatan Nasional (PN).
Hadi berkata, PAS akan menilai semua tindakan dan kerjasama dengan Bersatu kerana pilihan raya semakin hampir serta sebarang keputusan perlu mengambil kira untung rugi politik.
Antara perkara dibangkitkan Hadi adalah penarikan sokongan Adun Bersatu di Negeri Sembilan untuk bersama Umno bagi membentuk kerajaan negeri, perkembangan di Perlis yang menyaksikan tampuk pemerintahan beralih ke Bersatu, dan campur tangan pelantikan exco Kedah dan timbalan speaker di Kelantan.
Turut disentuh pendirian Bersatu yang didakwa tidak bersetuju usaha membawa masuk parti Melayu-Islam dan parti bukan Islam tertentu dalam PN.