Muat naik video kejadian jenayah boleh jejas siasatan, ada implikasi

Muat naik video kejadian jenayah boleh jejas siasatan, ada implikasi

Polis juga bimbang keselamatan individu terancam jika libat penjenayah berbahaya.

Perak police chief Noor Hisam Nordin bernama pic 9426
Polis nasihat orang ramai supaya menyalurkan terus maklumat atau rakaman berkaitan salah laku kepada polis. (Gambar Bernama)
TELUK INTAN:
Polis mengingatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab sebelum memuat naik rakaman video berkaitan kejadian jenayah atau salah laku menerusi media sosial kerana tindakan itu boleh menjejaskan siasatan selain memberi implikasi dari sudut perundangan.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Noor Hisam Nordin berkata terdapat segelintir pihak yang terlalu ghairah mengejar perhatian di media sosial tanpa memahami kesan terhadap siasatan pihak berkuasa.

“Ada rakaman yang boleh dijadikan bahan membantu siasatan, namun ada juga yang akhirnya menjejaskan siasatan terutama apabila ia dimuat naik tanpa memahami implikasi undang-undang serta kesan terhadap pihak terlibat.

“Kita juga bimbang video yang dimuat naik itu boleh mengancam keselamatan individu terbabit sekiranya identiti mereka dikenal pasti pihak tertentu, terutama jika melibatkan kegiatan jenayah atau penjenayah berbahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan ‘town hall’ pencegahan jenayah sempena sambutan Hari Polis Ke-219 di Dataran Menara Condong.

Hisam menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan terus maklumat atau rakaman berkaitan salah laku kepada polis bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.

Menyentuh mengenai program hari ini, beliau berkata ia dilaksanakan bertujuan mendekatkan polis dan masyarakat, selain menjadi medium perkongsian maklumat berkaitan isu keselamatan serta pencegahan jenayah.

Menurut Noor Hisam, sokongan masyarakat amat penting dalam membantu memelihara moral dan semangat polis, selain menyedari kekangan serta cabaran yang dihadapi anggota keselamatan ketika menjalankan tugas.

“Polis tidak mampu berada di semua tempat pada setiap masa, justeru masyarakat perlu tampil memainkan peranan membantu pihak polis terutama dalam aspek pencegahan dan penyelesaian kes jenayah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.