
Mengesahkan perkara tersebut, Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor, berkata hasil bedah siasat ke atas mangsa pertama mendapati Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, maut akibat kecederaan serius pada bahagian abdomen kesan hentakan kuat.
“Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, pula maut akibat cedera di bahagian leher, manakala Ahmad Fiqri Zakaria, 38, meninggal dunia akibat lemas,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, proses bedah siasat ke atas ketiga-tiga mangsa dijalankan pada 10 pagi hingga 2.15 petang tadi sebelum semua jenazah dituntut ahli keluarga masing-masing.
Semalam, dilaporkan tiga pekerja platform minyak maut manakala seorang lagi cedera parah selepas bot penyelamat dinaiki mereka terjatuh ke laut ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di FSO Sepat.
Mangsa cedera parah, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.