
Ahli Parlimen Marang itu berkata, istilah seperti ‘mullah’ dan ‘teokrasi’ sering digunakan menurut kerangka Barat untuk memberi gambaran negatif terhadap Islam.
Dalam politik Islam, jelasnya, kepimpinan negara tidak bermaksud seseorang pemimpin atau ulama perlu ditaati secara mutlak seperti tuhan.
“Islam berkonsepkan negara berperlembagaan yang tidak bertuhankan pemimpin bagi mentadbir urusan negara dalam segala aspek politik, ekonomi dan semua urusan bermasyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Islam turut menekankan penggunaan ilmu, akal, pengalaman dan kebijaksanaan manusia dalam pentadbiran, selain berpandukan wahyu.
Menurutnya, konsep syura atau musyawarah merupakan prinsip penting dalam Islam dan ia membezakan politik Islam daripada gambaran teokrasi sebagaimana difahami sesetengah pihak.
Hadi berkata, Rasulullah sendiri bermesyuarat dengan para sahabat dalam banyak urusan dan menerima pandangan pelbagai pihak.
“Maka, istilah perkataan mullah mengikut teori Barat bukan daripada fiqh siyasi.”
Beliau berkata demikian susulan laporan Malaysiakini kelmarin memetik sumber dalaman Bersatu sebagai berkata, isu kerjasama PAS-Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) yang dibangkitkan Hadi sudah diselesaikan secara konsensus dalam mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan pembangkang itu.
Sumber itu berkata, PN ditadbir atas semangat kerjasama dan persefahaman antara parti komponen, bukan ditentukan seseorang secara mutlak.
Jumaat lalu, Hadi dilaporkan memberi amaran kepada Bersatu, kesabaran parti itu ‘ada batas’ susulan beberapa tindakan mereka yang didakwa melanggar semangat setia kawan dalam PN.
Katanya, PAS sedang meneliti semula hubungannya dengan Bersatu, termasuk kemungkinan bergerak tanpa parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu pada PRU16.
Susulan itu, sumber dalaman Bersatu mengingatkan PAS bahawa PN ialah sebuah organisasi ditadbir mengikut semangat kerjasama dan persefahaman antara anggotanya, bukan ditentukan oleh seseorang secara mutlak.