
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata hakikatnya Hadi merupakan presiden parti terbesar dalam PN, didokong oleh “disiplin kolektif yang jarang goyah”.
Kelmarin, biro politik Bersatu menerbitkan kenyataan panjang lebar bagi menyangkal isu-isu dibangkitkan Hadi, antaranya dakwaan ia membantah permohonan parti lain untuk menyertai PN.
Ia menegaskan keputusan majlis tertinggi PN tidak wajar dicabar atau dipertikaikan di luar mesyuarat, ‘seolah-olah ada presiden parti yang diberikan kuasa veto’.
Syaza bagaimanapun berkata kedudukan Hadi dalam PN tidak boleh dinafikan, apa lagi dengan orang kepercayaan beliau — Samsuri Mokhtar — sebagai pengerusi gabungan, maka cabaran sebenar adalah mengurus persepsi orang ramai.
“Hadi mempunyai hak untuk bersuara. Namun, keputusan yang sudah dipersetujui dalam mesyuarat sepatutnya dianggap muktamad. Jika tidak, PN akan dilihat seolah-olah tidak mempunyai pendirian atau kepimpinan yang kuat,” katanya.
Isu-isu yang dibangkitkan Hadi bersekali dengan amaran bahawa kesabaran PAS ‘ada batas’. Susulan itu, sumber dalaman Bersatu dipetik Malaysiakini sebagai berkata “PN tidak guna sistem mullah”.
Zaharuddin berkata di sebalik pertikaian terbaharu ini adalah pertembungan antara sistem berbeza.
“Adakah PAS benar‑benar berbeza daripada parti politik lain? Jawapannya ‘ya’ — kerana sistem PAS tidak dibina atas kompromi semata‑mata, tetapi atas konsep wala’, ketaatan penuh kepada ketua.”
Kelmarin, media melaporkan PAS mengadakan mesyuarat bagi membincangkan masa depan bersama Bersatu, antara lain.