30 ladang babi di Tanjong Sepat dalam proses pengosongan, kata exco

30 ladang babi di Tanjong Sepat dalam proses pengosongan, kata exco

Exco Selangor Izham Hashim berkata tiada anak babi baharu dibawa masuk dan proses pengosongan dijalankan secara berperingkat.

PIG FARM
Exco Selangor Izham Hashim berkata baki 11,000 ekor babi belum cukup matang untuk dilupus atau disembelih. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Kira-kira 30 ladang dengan baki 11,000 ekor babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat dalam proses pengosongan, kata Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim.

Jelasnya, tiada anak babi baharu dibawa masuk dan baki ternakan itu belum cukup matang untuk dilupuskan atau disembelih di pusat penyembelihan Rawang sejak arahan penutupan dikeluarkan Februari lalu.

“Jadi, proses itu dijalankan secara berperingkat dan kita jangka akan segera selesai nanti,” katanya menurut Kosmo pada program Ibadah Korban Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor di Surau Haji Hassan, Sijangkang, Kuala Langat.

Minggu lalu, media melaporkan semua ladang babi di Tanjong Sepat akan dikosongkan dan ditutup sepenuhnya menjelang akhir bulan depan, sebelum fasa penguatkuasaan bermula 1 Julai nanti.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal dengan pendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah Selangor.

Baginda pada 12 Jan lalu murka dengan rancangan kerajaan Selangor membenarkan penternakan babi berskala besar di Tanjong Sepat bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Izham berkata, kerajaan negeri akan membantu 87 pengusaha ladang babi terbabit beralih kepada aktiviti pertanian lain, selepas ladang ternakan mereka ditutup.

“Peralihan itu penting bagi memastikan aktiviti pertanian bernilai tinggi dapat dilaksanakan atas kawasan seluas 350 ekar (141.64 hektar).”

Beliau berkata, mesyuarat akan diadakan 9 Jun ini untuk mengenal pasti langkah terbaik membantu penternak, khasnya bagi pemulihan tanah di kawasan terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.