
Ketua Pengarah AADK, Ruslin Jusoh, berkata kit ujian itu telah diedarkan ke pejabat AADK di seluruh negara untuk digunakan pegawai dan anggota ketika menjalankan operasi di lapangan.
Menurutnya, AADK kini berdepan cabaran baharu membabitkan dadah sintetik seperti fentanyl yang lebih berbahaya berbanding dadah tradisional seperti ganja dan heroin.
“Mulai Jun ini, kita akan mula buat ujian menggunakan kit ujian (dadah sintetik) tersebut, terutamanya fentanyl dan juga sintetik carnaubinol.
“Kita telah edarkan ke pejabat kita di seluruh Malaysia dan mulai Jun, kita akan buat operasi dan kita akan uji (individu) menggunakan alat tersebut,” katanya selepas program penghayatan nilai murni sempena Aidiladha dan ibadah korban AADK di sini.
Beliau berkata, kit ujian itu mampu mengesan fentanyl, cannabinoids sintetik dan kokain yang digunakan sebagai cecair untuk rokok elektronik atau vape.
Mengulas tangkapan AADK, Ruslin berkata, individu yang ditahan susulan penyalahgunaan dadah kini mencecah 15,000 orang sepanjang lima bulan pertama tahun ini.
“Kita menyasarkan boleh capai 40,000 (tangkapan) pada tahun ini. Ia (antaranya) berdasarkan kepada aduan daripada pihak awam yang keduanya dan risikan,” katanya sambil menambah penubuhan unit dron AADK juga membantu tindakan operasi.
Sebelum ini, beliau berkata, kadar penagihan dadah jenis sintetik di Malaysia kini di tahap membimbangkan kerana ia menyumbang 70% daripada jumlah keseluruhan penagih di seluruh negara.
Katanya, perkembangan itu selari ancaman trend terbaharu yang mana sindiket kini dikesan mencampurkan bahan terlarang itu ke dalam cecair rokok elektronik atau vape.