Penunggang p-panggilan mengaku tak salah ugut bunuh wanita

Penunggang p-panggilan mengaku tak salah ugut bunuh wanita

A Vinodvarma didakwa membuat ugutan bunuh terhadap Ashha Begum dekat sebuah premis di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

kompleks mahkamah kuala lumpur
Mahkamah Majistret Kuala Lumpur membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan dua penjamin dan memerintahkannya melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.
KUALA LUMPUR:
Seorang penunggang p-panggilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membuat ugutan bunuh terhadap seorang wanita minggu lalu.

A Vinodvarma, 36, dituduh melakukan kesalahan itu terhadap pembantu kedai gunting rambut, Ashha Begum, 24, berhampiran sebuah premis di Jalan Ipoh kira-kira 6.20 petang 22 Mei lalu.

Ketika kejadian, tertuduh yang didakwa dalam keadaan mabuk dikatakan menuntut mangsa membayar balik wang yang digunakan untuk membeli hadiah kepadanya.

Lelaki itu kemudian didakwa mengeluarkan kata-kata kesat sebelum membuat ugutan bunuh terhadap mangsa.

Vinodvarma mengaku tidak bersalah di depan Majistret Farah Nabihah Dan.

Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa mencadangkan tertuduh tidak dibenarkan jaminan.

Tetapi, peguam Erickka Farrise Amir merayu jaminan minimum atas alasan anak guamnya ialah pencari nafkah tunggal bagi keluarganya.

“Ibunya mengalami masalah jantung, tekanan darah tinggi dan diabetes, manakala bapanya merupakan orang kurang upaya,” katanya sambil menambah anak guamnya patah tangan kiri dalam kemalangan baru-baru ini.

Beliau berhujah, tertuduh tidak menyebabkan sebarang kecederaan fizikal atau kerosakan harta benda, selain tidak berisiko melarikan diri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan dua penjamin dan memerintahkannya melaporkan diri di balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai.

Tertuduh juga diingatkan tidak mengganggu saksi pendakwaan, khasnya mangsa.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 30 Jun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.