Projek tebatan banjir Jalan Kapar tangguh lagi, penduduk marah

Projek tebatan banjir Jalan Kapar tangguh lagi, penduduk marah

Adun Sementa Noor Najhan Mohamad Salleh berkata rakyat marah akibat kesesakan teruk apabila jalan ditutup untuk projek yang bermula September 2025.

Simpang di laluan main pic email 27526
Simpang di laluan yang akan sesak teruk pada waktu puncak kerana pembinaan projek tebatan banjir bermula September 2025.
KLANG:
Penduduk Taman Seri Sementa, Taman Klang Perdana dan Kampung Perepat dijangka perlu bersabar lagi dengan kesesakan trafik serta risiko kemalangan apabila projek tebatan banjir di Jalan Kapar, yang beberapa kali tertangguh, berkemungkinan hanya siap pada 2027.

Pembinaan sistem pembentungan berhampiran Taman Sungai Kapar Indah itu bermula 3 Sept 2025 dan dijadualkan siap Mac lalu, tetapi dianjak ke Ogos, dan kini berdepan kemungkinan kelewatan baharu, menurut pegawai pihak berkuasa tempatan dan wakil kontraktor.

Adun Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh, berkata kelewatan berpunca daripada isu pengalihan utiliti bawah tanah membabitkan Air Selangor, Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Gas Malaysia.

“Kontraktor tidak boleh meneruskan projek sepenuhnya, selagi paip dan utiliti ini tidak dialihkan,” katanya kepada FMT.

Kemajuan projek setakat ini mencapai kira-kira 25%, kata Najhan sambil menambah: “Semua syarikat ini sudah dimaklumkan, tetapi sehingga kini belum ada perkembangan.”

Adun Sementa Noor Najhan Mohamad Salleh email pic 27526
Adun Sementa Noor Najhan Mohamad Salleh (kiri) meminta penjelasan berhubung kelewatan projek daripada wakil kontraktor (kanan).

Wakil kontraktor, Ahmad Izzudin Ismail, menerangkan terdapat utiliti tambahan yang tiada dalam peta asal, maka pihaknya perlu melakukan pelarasan, selain tambahan masa dan kos.

Pengurus projek di Shezco Engineering itu menegaskan pihaknya mengambil sikap “amat berhati-hati” bagi mengelakkan perkara tidak dijangka, terutama membabitkan saluran gas.

“Saya difahamkan kos pengalihan utiliti ini boleh mencecah jutaan ringgit. Jika semuanya selesai, kita akan teruskan projek mengikut prosedur dan aspek keselamatan di tapak,” katanya.

Sesak teruk

Sebelum ini, pengguna jalan raya mempunyai dua laluan untuk keluar dari kawasan perumahan – sama ada ke arah Klang atau Kapar. Menurut Najhan, projek ini menyebabkan laluan ke Klang ditutup bagi memberi laluan kepada pembinaan, lalu penduduk berdepan kesesakan terutama pada waktu puncak. Pengalihan lampu isyarat memburukkan lagi keadaan.

“Pengguna terpaksa beratur panjang di lampu isyarat untuk membuat pusingan U di simpang berdekatan, walaupun tempoh lampu hijau terlalu singkat berbanding jumlah kenderaan yang semakin meningkat,” katanya.

Penolong Jurutera Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Nour Farah Edzah Paujian, berkata pihaknya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang meneliti pemasangan lampu isyarat sementara secepat mungkin bagi mengurangkan kesesakan.

Paip milik syarikat utiliti yang belum dialihkan 27526
Paip milik syarikat utiliti yang belum dialihkan.

Pihak kontraktor memberitahu FMT bahawa pihaknya mahu menyelesaikan pemasangan dalam minggu ini.

Lampu isyarat sedia ada di laluan Kapar juga akan dilanjutkan bagi melancarkan pergerakan kenderaan, tambahnya.

Sementara itu, Najhan meluahkan kekecewaan apabila mendakwa Exco Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Pembangunan Kampung Baharu, Ng Suee Lim tidak menjawab soalan berhubung status projek tebatan ini dalam sidang DUN baru-baru ini.

“Rakyat di Sementa dalam tekanan. Hendak pergi kerja lambat, bos marah. Hendak hantar anak ke sekolah pun lambat, nanti guru marah. Itu sebab penduduk marah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.