
Chef de Mission ME 2023, Salleh Mohd Nor, berkata sehingga kini, tiada sebarang dokumen deklarasi kematian dikeluarkan kerajaan Nepal berhubung kehilangan pendaki kurang upaya (OKU) pendengaran itu.
Sehubungan itu, katanya, permohonan telah disampaikan kepada Kuasa Usaha Kedutaan Nepal di Malaysia, Mudita Bajracharya, bagi membantu keluarga Hawari dalam urusan tuntutan insurans, pekerjaan dan dokumentasi rasmi.
Melalui pertemuan yang diadakan, jelasnya, wakil kerajaan Nepal itu bersetuju membantu.
“Tindakan seterusnya ialah menghantar surat rasmi kepada kerajaan Nepal bagi mendapatkan pertimbangan dan tindakan lanjut,” katanya menurut Harian Metro pada Sambutan Hari Everest Sedunia 2026 di Kuala Lumpur, semalam.
Terdahulu, ME 2023 sudah mengemukakan laporan perubatan yang disediakan Ketua Pegawai Perubatan Mountain Medical Institute, Dr Abhyu G kepada Kedutaan Malaysia di Nepal bagi menyokong permohonan pengisytiharan kematian Hawari.
Laporan itu memberikan pandangan profesional berhubung status Hawari berdasarkan faktor perubatan dan persekitaran di Everest.
Menurut laporan itu, peluang pendaki terus hidup dalam tempoh lama di puncak Everest amat tipis kerana ia berada dalam “Zon Kematian” pada ketinggian melebihi 8,000m, di mana kandungan oksigen atmosfera tidak mencukupi dan walaupun oksigen tambahan digunakan, pendaki masih berdepan risiko hipoksia teruk, keletihan melampau, suhu sejuk ekstrem serta penyakit berkaitan altitud tinggi.
Hawari yang berasal dari Pulau Pinang dan bertugas di Muzium Pulau Pinang ketika itu berusia 33 tahun. Beliau berjaya menawan Everest pada 19 Mei 2023 sebelum dilaporkan hilang keesokannya ketika berada di kawasan puncak.
Dalam ekspedisi sama, Ketua Angkatan Pertahanan Awam Kedah, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55, disahkan meninggal dunia pada 10.30 pagi waktu Nepal ketika dirawat di Kem 4 pada ketinggian kira-kira 8,000m dari aras laut.