4 gerabak LRT tergelincir dibawa ke depot untuk pemeriksaan

4 gerabak LRT tergelincir dibawa ke depot untuk pemeriksaan

Khamis lalu, sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir dekat Stesen Chan Sow Lin akibat kerosakan pada suis landasan.

4 gerabak LRT
Rapid KL berkata kerja pemulihan tren yang dijalankan semalam dan awal pagi tadi membabitkan proses penyambungan gerabak tren serta kenderaan trek khas bagi membolehkan pergerakan keluar dilakukan dengan selamat dan terkawal. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Empat gerabak tren yang tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin baru-baru ini, berjaya dinaikkan ke landasan dan dibawa pulang ke depot untuk pemeriksaan serta tindakan lanjut oleh pasukan teknikal.

Rapid KL berkata, kerja pemulihan tren yang dijalankan semalam dan awal pagi ini membabitkan proses penyambungan antara gerabak tren serta kenderaan trek khas bagi membolehkan pergerakan keluar dilakukan dengan selamat dan terkawal.

“Gerak kerja giat diteruskan demi memastikan perjalanan selamat lagi selesa buat penumpang dapat dikembalikan secepat mungkin,” katanya dalam hantaran Facebook.

Khamis lalu, sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin akibat kerosakan pada suis landasan yang menjejaskan jadual perkhidmatan.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dilaporkan berkata, landasan yang terjejas dijangka dapat beroperasi semula selewat-lewatnya Rabu depan.

Beliau turut memaklumkan semua stesen di Laluan Ampang/Sri Petaling kekal beroperasi, namun menggunakan jadual perkhidmatan diubah suai bagi memastikan pergerakan tren dapat diteruskan sepanjang tempoh kerja pemulihan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.