
Aeroline berkata, Kuala Lumpur tidak lagi akan menjadi lokasi turun naik penumpangnya dengan keputusan dibuat selepas syarikat berdepan cabaran peraturan yang disifatkan berlarutan sejak 15 tahun lalu.
Pada 13 Mei lepas, katanya, pihaknya menerima arahan tegas bahawa operasi hanya boleh dijalankan dari terminal yang mempunyai lesen sah, dan ketika ini, hanya tiga lokasi dibenarkan, iaitu komples beli-belah 1 Utama, LaLaport dan IOI City Mall.
“Berbanding menggadaikan nilai kami, mengenakan caj lebih tinggi (kepada penumpang), atau menyajikan kualiti perkhidmatan yang kurang memuaskan, kami telah membuat keputusan yang amat sukar untuk meninggalkan KL sepenuhnya dan memberi tumpuan untuk berkhidmat di lokasi lain,” katanya dalam kenyataan.
Aeroline berkata, sebelum ini, ia memindahkan operasi ke Tun Razak Exchange (TRX) selepas lokasi lama di Corus KLCC tidak lagi sesuai.
Menurutnya, lokasi di TRX mendapat sambutan baik daripada penumpang kerana mempunyai akses terus kepada rangkaian MRT selain memudahkan perjalanan ke kawasan tumpuan seperti Bukit Bintang, KLCC dan Chinatown.
Lokasi itu juga lebih mesra bagi golongan warga emas, keluarga yang mempunyai anak kecil serta pelancong asing yang pertama kali berkunjung ke ibu negara, tambahnya.
Mengulas kemungkinan berpindah ke LaLaport, syarikat itu berkata, caj komersial yang dikenakan di terminal itu tidak selari dengan komitmennya untuk menawarkan perkhidmatan bernilai kepada pelanggan.
Kos tambahan yang terpaksa ditanggung juga berisiko dipindahkan kepada pengguna menerusi kenaikan harga tiket, tambahnya.
Aeroline berkata, kemudahan di terminal berlesen itu juga menyukarkan syarikat mengekalkan pengalaman perkhidmatan yang menjadi identitinya, termasuk ruang menunggu yang selesa, minuman percuma dan bantuan pelanggan bagi urusan tempahan serta daftar masuk.
Lewat tahun lepas, perkhidmatan Aeroline digantung sebulan, iaitu dari 6 Nov hingga 5 Dis, susulan tiga surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada syarikat pengendalinya, Zulco Sdn Bhd.
Syarikat tersebut didapati menyalahgunakan lesen operasinya dengan mengambil dan menurunkan penumpang di lokasi yang tidak dibenarkan.
Dalam kenyataan hari ini, Aeroline turut memohon maaf kepada penumpang yang terkesan dengan perubahan operasi sejak kebelakangan ini.
“Pihak kami kini berdepan tindakan penguatkuasaan yang boleh menjejaskan operasi, terutama ketika musim perjalanan yang sibuk,” katanya.
“Kami akan terus beroperasi melalui hab dan laluan lain di luar Kuala Lumpur serta mengekalkan standard keselamatan, keselesaan dan kebolehpercayaan yang ditawarkan kepada penumpang.”