Hamzah boleh tewaskan Peja, Azmin dengan mudah, Wan Fayhsal jawab Marzuki

Hamzah boleh tewaskan Peja, Azmin dengan mudah, Wan Fayhsal jawab Marzuki

Bekas pemimpin Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menjelaskan pemilihan Bersatu 2024 susulan dakwaan Hamzah Zainudin diberi laluan untuk menang timbalan presiden.

Bekas pemimpin Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, jawab bekas setiausaha sulit Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, susulan dakwaan Hamzah Zainudin diberi laluan untuk menang pemilihan.
PETALING JAYA:
Seorang bekas pemimpin Bersatu menjawab dakwaan bahawa Hamzah Zainudin diberi laluan untuk menang jawatan timbalan presiden Bersatu pada pemilihan Bersatu lalu, menegaskan beliau boleh menewaskan Ahmad Faizal Azumu dengan mudah.

Bekas ketua Pemuda dan ahli majlis pimpinan tertinggi, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyimpulkan keadaan ketika itu sebagai usaha mengambil jawatan timbalan presiden, yang dijawat oleh “insan yang berperangai seperti bahan lawak jenaka”.

Wan Ahmad Fayhsal percaya Presiden Muhyiddin Yassin tahu “Peja (Faizal) ini hanyalah bidak catur murahan yang cukup lemah untuk diratah Hamzah tapi masih berguna sebagai perisai murah”.

Beliau juga mendakwa Hamzah boleh menewaskan Azmin Ali sekiranya mereka bersaing dalam pemilihan, menggambarkan Hamzah sebagai seorang konservatif dan lebih mesra menyantuni akar umbi yang majoritinya bekas ahli Umno.

“Kemenangan Hamzah itu bukan satu jangkaan lagi,” katanya, dalam satu hantaran di Facebook, menjawab bekas setiausaha sulit Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, yang mendakwa Hamzah sebagai punca Bersatu berpecah belah.

Marzuki dalam kenyataan mendakwa Muhyiddin memujuk Faizal bertanding naib presiden untuk beri laluan kepada Hamzah menang jawatan timbalan presiden tanpa bertanding.

Dalam pemilihan Bersatu pada Okt 2024, Hamzah menang tanpa bertanding selepas hanya satu pencalonan diterima bagi jawatan tersebut.

Sebelum itu pada Julai, Muhyiddin mengumumkan Faisal mengundur diri bagi memberi laluan kepada Hamzah, dan menawarkan jawatan setiausaha agung berkata Azmin.

Ketika itu, jawatan timbalan presiden menjadi perhatian selepas Azmin dikatakan bakal bertanding bagi merebut jawatan tersebut.

Astro Awani memetik Muhyiddin sebagai berkata pengunduran Faizal itu atas dasar mengiktiraf peranan Hamzah ketika itu sebagai setiausaha agung Perikatan Masional (PN), dan ketua pembangkang di Parlimen, serta hubungan akrab dengan parti komponen PN lain, seperti PAS.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa Hamzah dalam setiap mesyuarat majlis tertinggi PN dan Ahli-ahli Parlimen gabungan itu dihormati dan disegani oleh seluruh kepimpinan PN, khususnya daripada PAS.

Sekarang, tegasnya, Hamzah disokong oleh 19 Ahli Parlimen dan 20 Adun yang merupakan ‘bekas pemain utama Bersatu’.

“Kami yang hadir mesyuarat, merangka strategi, membentuk dasar dan menguruskan parti hampir lima tahun lamanya. Bukan tukang sorak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.