MB Perlis dirakam keterangan, polis rampas senjata berkait kes tembak lembu

MB Perlis dirakam keterangan, polis rampas senjata berkait kes tembak lembu

Ketua Polis Kangar Yusharifuddin Mohd Yusop berkata pihaknya menerima laporan semalam berhubung video tular kejadian berkenaan.

mb tembak lembu
Semakan mengesahkan Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah adalah pemegang lesen sah bagi senapang patah dipercayai digunakan dalam insiden tular tembak lembu pada majlis ibadah korban, kata Ketua Polis Kangar Yusharifuddin Mohd Yusop.
PETALING JAYA:
Polis merakam keterangan Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah dan merampas senjata api serta peluru yang dipercayai digunakan untuk menembak lembu korban dalam video tular di Kuala Perlis, kelmarin.

Ketua Polis Kangar, Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata pihaknya menerima laporan orang awam pada 4.51 petang semalam berhubung video berdurasi 38 saat yang memaparkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, hasil semakan Bahagian Perlesenan IPD Kangar mengesahkan menteri besar adalah pemegang lesen sah bagi senapang patah yang digunakan.

“Berdasarkan keterangan menteri besar Perlis, tindakan demikian diambil kerana pada ketika itu seekor lembu telah mengamuk dan mengancam petugas dan orang awam yang berada di Program Ibadah Korban Perdana Kuala Perlis.

“Polis merampas senapang patah serta sembilan butir peluru jenis buckshot untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, tular video berdurasi 38 saat memaparkan Abu Bakar menembak seekor lembu dipercayai untuk ibadah korban.

Beliau kemudian mempertahankan tindakannya menembak seekor lembu korban yang didakwa mengamuk, menegaskan tindakan itu diambil demi keselamatan orang ramai.

Menurutnya, dakwaan di media sosial yang menggambarkan seolah-olah lembu korban disembelih menggunakan kaedah tembakan adalah tidak benar.

Sementara itu, Yusharifuddin berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 (Akta 206) kerana telah melepaskan tembakan di tempat awam yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun dan denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh mengundang sebarang provokasi terhadap mana-mana pihak.

“Polis memandang serius sebarang perbuatan yang boleh mengugat ketenteraman awam dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.