
Gesaan itu dibuat Kesatuan Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) selepas Exco Kesihatan Perak, A Sivanesan, menegaskan Hospital Seri Manjung tiada kaitan dengan pertikaian buruh membabitkan seorang pekerja pembersihan kontrak dan kontraktor pembersihan, UEMS Edgenta.
UEMS Edgenta mempunyai kontrak pembersihan dengan hospital itu.
Baru-baru ini, seorang pekerja pembersihan mendakwa diserang penyelianya dalam kawasan hospital. Sebagai tanda solidariti terhadap pekerja terbabit, kesatuan itu bersama Parti Sosialis Malaysia mengadakan piket di pintu masuk hospital pada 18 Mei lalu.
Pengerusi NUWHSAS, Roziah Hashim dan Setiausaha Eksekutifnya, M Sarasvathy, berkata aspek keselamatan, kebajikan serta maruah pekerja merupakan tanggungjawab kolektif hospital sebagai pemilik premis dan UEMS Edgenta selaku majikan langsung.
Pemimpin NUWHSAS menegaskan, sebarang insiden membabitkan pekerja pembersihan dalam kawasan hospital perlu dilihat sebagai tanggungjawab kolektif yang merangkumi aspek keselamatan tempat kerja, pemantauan operasi dan perlindungan terhadap pekerja wanita daripada sebarang bentuk intimidasi atau gangguan.
“Isu ini bukan sekadar pertikaian buruh, tetapi (turut) melibatkan maruah, keselamatan dan hak pekerja wanita untuk bekerja dalam persekitaran selamat, terjamin serta bebas daripada sebarang bentuk intimidasi dan gangguan.”
Kesatuan itu menolak dakwaan piket berkenaan menyalahi undang-undang. Tegasnya, hak pekerja untuk berdemonstrasi secara aman demi keselamatan dan kebajikan mereka dilindungi undang-undang.
NUWHSAS menggesa Sivanesan menunjukkan bukti ia salah guna yuran kesatuan untuk membiayai piket, tujuan tidak sah dan mendorong “kepentingan politik” kerana tuduhan sedemikian tidak berasas serta berunsur fitnah.
Sivanesan dalam responsnya terhadap kenyataan NUWHSAS memberitahu FMT, beliau tiada masalah jika kesatuan itu mahu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.