Syarikat guna skim pemisahan elak bayar pampasan, kata mahkamah

Syarikat guna skim pemisahan elak bayar pampasan, kata mahkamah

Mahkamah Perusahaan berkata syarikat itu gagal berunding dengan kesatuan sekerja dan kurang nasihatnya mungkin menyebabkan pekerja terpedaya terima skim terbabit.

mahkamah perusahaan malaysia
Mahkamah Perusahaan berkata pengurangan tenaga kerja Canon Opto pada Jun 2020 ketika pandemik Covid-19 adalah pemberhentian pekerja. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Perusahaan memutuskan sebuah syarikat pengeluar kanta kamera memasukkan sebahagian pekerjanya dalam skim pemisahan bersama lima tahun lalu untuk mengelak membayar pampasan pemberhentian.

Mahkamah mempertikaikan keputusan syarikat itu “tiba-tiba” mengurangkan tenaga kerjanya ketika pandemik Covid-19 dan sekatan pergerakan dilaksanakan, “melainkan syarikat berkenaan memutuskan untuk mengurangkan tenaga kerjanya pada tempoh itu”.

S Vanithamany
S Vanithamany.

S Vanithamany, pengerusi Mahkamah Perusahaan di Kuala Lumpur berkata, pengurangan tenaga kerja itu “pada dasarnya adalah pemberhentian pekerja” yang akan membabitkan kadar pampasan lebih tinggi.

Mahkamah memutuskan Canon Opto (M) Sdn Bhd melanggar perjanjian kolektif kerana gagal berunding dengan kesatuan sekerja berhubung skim pemisahan itu.

Mahkamah dalam penghakiman yang dibuat baru-baru ini berkata, pihak pengurusan memilih untuk tidak berunding atau memaklumkan kesatuan sekerja atas alasan perjanjian kolektif itu hanya menyentuh pemberhentian pekerja, bukannya skim pemisahan bersama.

Tetapi, Vanithamany berkata, syarikat itu dikehendaki berunding dengan kesatuan sekerja yang mewakili pekerja setiap kali ia membuat keputusan membabitkan sejumlah besar pekerja, khansya berkaitan pekerjaan mereka.

Beliau berpendapat, pekerja yang dipilih untuk pengurangan tenaga kerja bukan lebihan atau tidak diperlukan.

Pada Jun 2020, syarikat itu menawarkan surat pemisahan kepada 59 pekerja terpilih berdasarkan prestasi rendah dan kerap mengambil cuti sakit.

Mereka ditawarkan pampasan pada kadar rata 0.8 daripada gaji pokok bagi setiap tahun perkhidmatan, sedangkan perjanjian kolektif menetapkan sebulan gaji bagi setiap tahun perkhidmatan untuk pekerja berkhidmat sehingga 10 tahun dan 1.25 bulan gaji bagi yang berkhidmat lebih 10 tahun.

Tawaran itu mencetuskan bantahan daripada Kesatuan Pekerja Canon Opto mendakwa mereka tidak dirujuk seperti sepatutnya.

Vanithamany berkata, pekerja mungkin terpedaya untuk menerima skim pemisahan itu disebabkan kurangnya nasihat kesatuan sekerja dan mereka mungkin membuat keputusan berbeza jika kesatuan terlibat.

“Tanpa pembabitan kesatuan sekerja, unsur kesukarelaan tidak boleh diterima,” kata Vanithamany yang mendengar kes itu bersama panel terdiri daripada wakil pekerja, Nor Adzlan Mohd Jazlan dan wakil majikan, Ku Sim Ling.

Munjit Singh dan Alfred Iruthiaraj dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia mewakili kesatuan sekerja itu dalam kes ini, manakala David Tan Seng Keat mewakili syarikat terbabit.

Munjit ketika dihubungi berkata, kesatuan sekerja itu akan menuntut pampasan bagi bekas pekerja terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.