Keluarga mangsa tanah jerlus Jalan Masjid India mohon pampasan RM820,000

Keluarga mangsa tanah jerlus Jalan Masjid India mohon pampasan RM820,000

Jumlah itu dicadang peguam berdasarkan keputusan mahkamah bulan lalu memerintahkan DBKL membayar ganti rugi RM824,180 dalam kes kematian akibat pokok tumbang.

M Surya pada sidang media bersama peguam keluarganya bagi menuntut pampasan kematian ibunya G Vijaya Lakshmi dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, pada Ogos 2024.
KLANG:
Keluarga kepada G Vijaya Lakshmi, mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dua tahun lalu mencadangkan kerajaan membayar pampasan setimpal iaitu sekitar RM824,000.

Jumlah itu dicadangkan berdasarkan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bulan lalu yang memerintahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membayar ganti rugi RM824,180 kepada sepasang suami isteri yang anak lelaki mereka maut akibat dihempap pokok tumbang di pembahagi jalan awam, tiga tahun lalu.

Peguam mewakili keluarga mangsa M Partiben berkata pihaknya akan mengadakan rundingan dengan DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh berhubung amaun pampasan kepada waris.

Menurutnya, pihaknya berpendapat wujud kecuaian dalam insiden tanah jerlus itu berdasarkan laporan awal yang menyentuh isu utiliti bawah tanah, geologi dan kerosakan paip.

“Dalam kes pokok tumbang itu (pada 2023), mahkamah mendapati ada kecuaian dari segi penyelenggaraan.

“Jadi dalam kes tanah jerlus ini, kecuaian itu juga boleh dibuktikan,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri M Surya, anak kepada Vijaya Lakshmi.

Dalam kejadian 23 Ogos 2024, Vijaya Lakshmi dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam lubang benam sedalam 8m yang terbentuk secara tiba-tiba di laluan pejalan kaki di Jalan Masjid India.

Punca kejadian itu dikenal pasti berpunca daripada paip pembetung pecah selepas mengalami hakisan akibat tindak balas kimia serta ketidakstabilan tanah.

Semalam, warisnya telah menerima sijil kematian daripada Jabatan Pendaftaran Negara.

Sementara itu, seorang lagi peguam keluarga, Muhamad Saifullah Muhamad Azmi berkata jumlah pampasan juga perlu mengambil kira beberapa faktor termasuk ganti rugi khas, ganti rugi am dan faktor kewangan keluarga mangsa.

Katanya, waris mangsa juga menanggung kos tinggi kerana perlu berulang-alik dari India ke Malaysia hampir dua tahun bagi urusan mendapatkan sijil kematian.

“Kita berharap pampasan tersebut tidaklah terlalu sedikit dan sewajarnya dengan kematian yang telah berlaku kepada mangsa dalam kes ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.