Rawatan kurang tuntas, penjagaan tiada kesinambungan sebab ‘tak berdaya’ bantu gelandangan uzur

Rawatan kurang tuntas, penjagaan tiada kesinambungan sebab ‘tak berdaya’ bantu gelandangan uzur

Persatuan Kesihatan Mental Malaysia dan Yellow House KL mengupas cabaran membantu gelandangan yang berdepan masalah kesihatan mental dan ketagihan dadah.

homeless gelandangan
Masalah mental dan ketagihan dadah antara punca utama isu gelandangan seolah-olah tidak berkesudahan, menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat.
PETALING JAYA:
Perkhidmatan disediakan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan dan hospital bawah Kementerian Kesihatan dikatakan ‘tidak berdaya’ membantu golongan gelandangan yang berdepan masalah kesihatan mental dan ketagihan dadah.

Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Dr Andrew Mohanraj, menerangkan rawatan biasa dalam perkhidmatan kesihatan tertumpu kepada rawatan detoksifikasi, yang bermaksud rawatan akut untuk ketagihan.

“Ia tidak tertumpu kepada pemulihan yang menangani punca psikologi mengapa orang menjadi penagih pada mulanya,” katanya kepada FMT.

Mohanraj mengulas laporan mengatakan masalah mental dan ketagihan dadah antara punca utama isu gelandangan seolah-olah tidak berkesudahan, menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Ketua Pengarah Che Murad Sayang Ramjan berkata penilaian latar belakang mendapati majoriti daripada mereka yang tegar di jalanan berdepan masalah kesihatan mental yang serius, selain ketagihan dadah.

Menurutnya lagi, ramai gelandangan yang diberi latihan kerohanian dan program pemulihan mengulangi tabiat lama selepas dibebaskan, lapor Harian Metro.

Mohanraj memaklumkan bahawa gelandangan yang mempunyai penyakit mental kronik biasanya menolak bantuan untuk dirawat.

“Mereka kurang memahami penyakit mereka dan juga mereka rasa selesa dalam ‘comfort zone’ mereka. Mereka merasakan bahawa orang yang menawarkan bantuan kepada mereka tidak memahami masalah mereka,” katanya.

Yellow House KL, sebuah NGO yang membantu orang gelandangan, mendedahkan sukarelawan kerap menjadi orang pertama yang menemui gelandangan yang mengalami psikosis teruk, trauma, sarak dadah, atau tingkah laku agresif, berbanding pasukan kecemasan psikiatrik yang terlatih.

Pengasas, Shyam Priah Marimuthu, berkata hospital dan petugas kesihatan memberikan kerjasama terutama dalam situasi kecemasan, namun hospital awam juga mengalami kesesakan yang melampau dan wad psikiatri mempunyai kapasiti yang terhad.

“Satu lagi cabaran yang dihadapi adalah kesinambungan penjagaan. Seseorang gelandangan mungkin menerima rawatan atau ubat-ubatan sementara, namun sebaik sahaja didiskaj, sering kali tiada persekitaran yang stabil, pemantauan jangka panjang, atau sistem sokongan komuniti untuk memastikan pemulihan berterusan.

“Hal ini membawa kepada kitaran kambuh berulang dan kembali menjadi gelandangan,” katanya.

Shyam turut menerangkan kerumitan dihadapi sesetengah keluarga individu gelandangan.

“Sesetengah keluarga benar-benar tidak mampu mengatasi situasi tersebut disebabkan oleh kemiskinan, keadaan tempat tinggal yang sesak, keletihan melampau si penjaga, atau penyakit mental yang tidak dirawat dalam isi rumah itu sendiri.

“Yang lain pula mungkin berasa takut atau trauma selepas bertahun-tahun berhadapan tingkah laku ganas, ketagihan, atau kambuh yang berlaku berkali-kali.”

Sementara itu, Shyam berkata Malaysia mempunyai banyak agensi dan NGO prihatin yang bekerja keras di lapangan.

“Langkah seterusnya mungkin adalah meningkatkan koordinasi antara agensi kebajikan, penyedia perkhidmatan kesihatan, majlis tempatan, dan organisasi komuniti supaya intervensi yang dijalankan menjadi berterusan dan bukannya sekadar bersifat sementara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.