
Hujung tahun yang sering dikaitkan dengan cuti tidak semestinya bebas tekanan, malah membawa pelbagai cabaran khususnya dalam menyelesaikan semua tugasan tertunggak.Hujung tahun juga merupakan tempoh paling sibuk, dan ramai secara tidak sengaja mengamalkan tabiat pemakanan tidak sihat.
Kajian menunjukkan seseorang itu tertekan walaupun sedang bercuti, tetapi pemakanan yang betul boleh membantu melegakan tekanan bermusim itu.
Foxnews baru-baru ini menyenaraikan beberapa jenis makanan yang boleh menjadi bekalan musim cuti anda.

Buah-buahan sitrus mempunyai pakej terbaik mengatasi tekanan. Buah sitrus seperti limau gedang (grapefruit) dan limau mandarin, selain lazat dan mudah diperolehi, adalah agen antioksidan yang kuat. Kajian menunjukkan vitamin C dalam sitrus membantu mengurangkan tekanan dan merangsang sistem imuniti. Ia boleh dijadikan snek ringan penuh serat, digunakan dalam salad atau pilihan peminat makanan manis berkalori rendah.

Keledek membekalkan beta-karotena, vitamin B-6, kalium, serat dan memenuhi keperluan karbohidrat. Begini cara menyediakannya: kupas kulitnya dan masak dalam ketuhar gelombang mikro. Tambah garam, lada, dan dadih untuk makan malam.

Makanan seperti tuna, salmon dan sardin dalam tin menawarkan pilihan protein yang mudah. Bila tiada pilihan lain, inilah pilihannya. Selain protein, ikan mengandungi vitamin B dan zat besi dan kaya dengan asid lemak omega-3 yang membantu otak dan mengurangkan keradangan apabila tekanan memuncak.

Kajian Pennsylvania State University menunjukkan pistachio menurunkan tekanan darah dan jantung di kalangan orang dewasa yang mempunyai kadar kolesterol tinggi. Pistachio juga 41% kurang kalori berbanding kacang lain. Kaya dengan protein dan serat, ia membantu menstabilkan tahap gula dalam darah untuk tenaga yang berterusan.

Oat menyediakan karbohidrat kompleks yang menghasilkan sejenis kimia yang merembeskan perasaan positif dalam otak. Ia membantu melegakan tanda tekanan. Mengandungi beta-glucan, sejenis serat larut yang memberikan rasa kenyang. Ia juga dilabel sebagai makanan “hebat” kerana pengambilannya pada waktu pagi menjadikan anda lebih tajam.