
Tahukah anda pengambilan makanan tertentu secara konsisten dapat meningkatkan peluang kehamilan lebih tinggi?Mungkin ramai berasa ia mustahil tetapi beberapa kajian di luar negara sudah membuktikannya.
Tidak salah untuk anda mencuba kerana ia bukan sahaja mudah didapati tetapi juga murah. Lebih penting, ia menyihatkan dan alami.
Jom, kita lihat senarai makanan tersebut yang diambil daripada portal Parents.com.
Senarai ini juga mungkin sesuai untuk dijadikan panduan kepada pasangan untuk merancang keluarga.
1. Kekacang
Kajian Harvard mendapati 39% wanita lebih cenderung mandul akibat pengambilan protein haiwan. Tetapi wanita yang makan protein tumbuhan pula tidak mempunyai masalah untuk hamil. Lentil, tauhu, kacang buncis dan kekacang adalah protein berasaskan tumbuhan yang baik untuk anda.
2. Aiskrim
Percayalah, ya aiskrim! Pengambilan produk tenusu penuh (seperti aiskrim!) sekali atau 2 kali seminggu melindungi anda daripada kemandulan. Namun produk tenusu skim dan rendah lemak bertindak sebaliknya. Penolong pemakanan dan epidemiologi di Harvard School of Public Health serta pengarang Diet Kesuburan, Prof. Jorge E. Chavarro percaya lemak daripada susu meransang hormon seks.
3. Sayuran hijau
Bayam, kailan, arugula, brokoli dan sayuran berdaun hijau gelap kaya dengan folat dan vitamin B yang boleh meningkatkan ovulasi. Pastikan juga anda kongsi dengan suami kerana dos folat yang tinggi boleh membuatkan sperma lebih sihat, berpotensi mengurangkan kemungkinan masalah keguguran atau genetik kepada bayi.
4. Biji labu
Kaya dengan zat besi, kajian mendapati wanita yang kerap mengambil makanan tambahan zat besi (bukan heme) 40% kurang bermasalah untuk hamil berbanding mereka yang tidak mengambil zat besi.
5. Roti gandum penuh
Kandungan karbohidrat kompleks mengambil masa lebih untuk dihadam sekali gus membantu mengekalkan kandungan gula dan insulin dalam darah lebih stabil. Jika anda sedang berusaha untuk hamil, pilih roti lebih gelap, beras perang berbanding putih dan pasta gandum.
6. Minyak zaitun
Minyak zaitun mengandungi lemak mono tak tepu yang membantu meningkatkan sensitiviti insulin dan mengurangkan keradangan badan (keradangan mengganggu ovulasi, persenyawaan dan perkembangan awal embrio).
7. Ikan salmon
Ikan salmon kaya dengan asid lemak omega-3, membantu merangsang hormon pembiakan dan meningkatkan aliran darah ke organ pembiakan. Salmon juga rendah merkuri berbanding makanan laut lain.
Elakkan makanan seperti ikan yu, todak, kembung raja dan ikan merah jika anda cuba untuk hamil kerana kandungan merkurinya tinggi.
Penting!
Jangan makan makanan yang mempunyai lemak trans. Ia banyak didapati dalam makanan dipanggang, diproses, digoreng dan sebagainya. Lemak ini mengurangkan keupayaan badan bertindak balas terhadap insulin, yang akan membuat anda lebih terdedah kepada ovulasi tidak teratur.