3 zon rawat pesakit di wad kecemasan hospital kerajaan

3 zon rawat pesakit di wad kecemasan hospital kerajaan

Hospital kerajaan amal sistem 'yang tak tahan sakit didahulukan'

jabatan-kecemasan
fmt-ohsem-inside-article1Rawatan di bahagian kecemasan dan trauma hospital kerajaan menggunakan prosedurnya tersendiri. Daripada kaunter pertama, kedua, pendaftaran hinggalah berjumpa doktor di jabatan kecemasan.

Ini kerana sistem “triage” atau saringan yang diamalkan untuk menilai tahap kritikal sakit.

Pakar Kecemasan dan Trauma dari Hospital Melaka, Dr. Abdul Rahman Abdul Kadir memperincikan prosedur itu.

“Pesakit kritikal akan diletakkan di zon merah, separa kritikal di zon kuning dan pesakit tidak kritikal di zon hijau,” tulisnya dalam Facebook beliau.

zone

Penjelasan itu dibuat ekoran luahan seorang artis tempatan mengenai kelewatan pihak hospital bahagian kecemasan merawat sekeluarga warga asing yang terlibat dalam kemalangan langgar lari.

Kata Dr.Abdul Rahman, pesakit yang hanya mengalami luka-luka superfisial dan tidak kritikal, mereka diletakkan di zon hijau, “Trauma Lane” – laluan khas bagi pesakit yang cedera akibat kemalangan.

Ia khusus bagi mempercepatkan rawatan, tidak perlu menunggu lama bersama kelompok pesakit bukan kritikal di zon hijau yang alami sakit biasa seperti demam, batuk, selesema, gatal kulit, cirit birit dan sebagainya.

Mengenai rungutan pesakit terpaksa berbaris di beberapa kaunter sebelum mendapatkan rawatan, Dr. Abdul Rahman berkata itu prosedur biasa.

“Setiap pesakit di zon hijau mesti melalui triage primari, triage sekunder bagi saringan lebih teliti dan rawatan ringkas sebelum didaftarkan.

“Prosedur standard itu adalah bagi kes tidak kritikal, kalau kes kritikal, kami akan ‘bypass’ semua langkah awal dan rawat serta merta,” tambahnya lagi.

“Kalau melibatkan warga asing pula, pihak hospital perlu meminta bayaran kerana mereka bukan warga negara, apatah lagi jika sakit mereka tidak kritikal. Sekiranya kritikal, rawatan wajib akan diberikan terus tanpa soal bayaran timbul kerana melewatkan rawatan sebab wang hanya akan merisikokan nyawa pesakit. Inilah arahan kami terima daripada kerajaan,” jelas beliau.

Beliau kemudian menambah kerajaan tidak boleh menampung ratusan warga asing yang datang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

“Berbilion ringgit dibelanjakan untuk rawatan warga asing dan mereka menikmati ‘kek’ kemakmuran dan wang negara. Ini satu ketirisan kerana tidak ada negara lain di dunia yang memberi keistimewaan seperti ini kepada warga asing apatah lagi pendatang haram,” sambungnya.

Malah, beliau juga akui dalam kes membabitkan kemalangan atau langgar lari, prosedur standard adalah doktor meminta pesakit yang bercerita dan bukan orang lain.

“Kami perlu mendengar cerita dari mulut pesakit sendiri kerana ‘history taking’ dari mereka yang paling credible dan bernilai untuk diguna pakai terutama dalam kes ‘medicolegal’ seperti ini,” katanya.

Tambahnya lagi kepada FMT Ohsem, KPI KKM adalah, 70% dari pesakit di zon tidak kritikal (hijau) dirawat oleh doktor dalam tempoh 90 minit. Ia KPI kebangsaan.

“Dalam kes ini, apabila semua perkhidmatan diselesaikan dalam masa 1 jam, boleh dianggap terbaik,” jelasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.