
Selasa lepas adalah hari bahasa ibunda. Memang menjadi tanggungjawab semua hormati bahasa ibunda masing-masing.Namun, ada yang bertindak berlebihan apabila menunjukkan obsesi terhadap bahasa ibunda mereka.
Seorang netizen dalam media sosial berkongsi gambar dan status, “Acara di sekolah Tamil, tetapi banner yang digantung di luar langsung tidak menggunakan bahasa Tamil,” tulisnya.
Saya hanya mempunyai satu jawapan kepada beliau dan yang seangkatan dengannya, “Kita hidup di Malaysia, bukan Tamil Nadu di India. Tak salahpun menggunakan bahasa kebangsaan untuk uar-uarkan program sekolah kepada khalayak. Lagipun bukan semua orang India (Tamil) boleh membaca bahasa Tamil.”
Bagi saya, anda mungkin sengaja cari publisiti!
Teringat juga “perjuangan” beberapa orang termasuk ahli politik yang mahu bank menggunakan bahasa Tamil dalam mesin ATM (mesin pengeluar wang).
Itupun, saya geleng kepala sahaja.
Kenapa perlu berjuang untuk hal remeh ini, sedangkan banyak masalah sosial lain yang lebih berat.
Bukannya bahasa Tamil dipinggirkan terus, jika benar, mustahillah bilangan sekolah Tamil dan dana untuknya bertambah setiap tahun. Terima kasih Pak Jib!
Kenapa tak gunakan sahaja bahasa Malaysia? Cakap warganegara Malaysia, kenalah tahu asas bahasa kebangsaan.
Nak tanya juga, berapa ramai yang menggunakan pilihan bahasa Tamil di mesin ATM dan kalau nak gunapun adakah mereka faham dengan terma ekonomi/kewangan Tamil itu?
Tiga tahun lepas, seorang lagi netizen berkongsi paket jenama roti dengan status, “Lepas ni orang India kena beli roti jenama ini kerana ada tulisan bahasa Tamil di paket. Inilah bisnes yang kita kena support.”
Betapa ceteknya pemikiran orang ini. Sebagai membalasnya, saya pun berkongsi pandangan ia hanya taktik pemasaran dan bukan soal patriotisme bahasa.
“Kalau sedap, harga berpatutan, bernilai, beli! Bukan terpedaya dengan strategi pemasaran. Kita pelanggan bukan pejuang bahasa dalam hal ini,” balas saya.
Terserempak 2 orang India bercakap dalam bahasa Inggeris atau Melayu, terus pandang macam nak telan.
Satu lagi obsesi lazim dalam kalangan orang sebangsa saya.
Seorang rakan berkongsi pengalamannya, apabila ditegur “Uncle Punjabi” kerana dia dan rakanya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
“Kawan saya Malayali, tidak boleh berbahasa Tamil, saya pula tidak boleh bercakap Malayalam. So, apa lagi bahasa yang boleh kami gunakan?” tanya Yiswaree.
Situasi ini jelas menunjukkan hanya kerana warna kulit sama atau berbangsa India, tidak semestinya mempunyai bahasa ibunda yang sama. Mereka yang obses agak buta dalam hal ini.
Seorang lagi rakan Tamil, Swashna Arora yang berkahwin dengan lelaki Punjabi dari India pula memberitahu bagaimana selalu menjadi mangsa sindiran apabila berbual dengan suaminya menggunakan bahasa Inggeris.
Saya pun patriotik terhadap bahasa ibunda saya, tetapi tidak pula obses membuta tuli.