Nike lancar hijab high-tech untuk atlet wanita Islam

Nike lancar hijab high-tech untuk atlet wanita Islam

Ia diperbuat daripada bahan ringan dan fleksibel, tudung itu dijangka akan mendapat sambutan hangat pada awal 2018.

nike-hijab
Nike Inc bakal melancarkan hijab untuk atlet wanita Islam awal tahun depan, menjadikan syarikat pembuat pakaian sukan utama itu menawarkan rekaan tudung yang khusus untuk dipakai semasa acara sukan.

Tudung kepala yang akan dipasarkan di bawah jenama “Pro Hijab” direka untuk memudahkan atlet bertudung tanpa menjejaskan prestasi perlawanan.

Ia diperbuat daripada bahan ringan dan fleksibel, tudung itu dijangka mendapat sambutan hangat pada awal 2018, kata Nike.

Sejak kebelakangan ini, tudung menjadi simbol paling ketara bagi budaya Islam di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Kebanyakan wanita Islam memakai tudung di tempat awam sebagai tanda kesopanan tetapi ada juga pengkritik melihat ia sebagai simbol penindasan kepada wanita.

Dengan sensitiviti ke atas imigrasi dan ancaman terhadap ekstremis Islam semakin meningkat, pemakaian tudung membawa kepada serangan terhadap wanita Islam.

Namun, pemakaian hijab sudahpun diterima masyarakat umum dan Nike mengambil peluang ini.

Bantahan The Women’s March yang diadakan di Washington sehari selepas perlantikan Presiden AS Donald Trump, menampilkan wanita memakai tudung dengan corak bendera AS sebagai imej yang dipromosikan.

Atlet wanita Islam yang melawat ibu pejabat Nike di Beaverton, Oregon, di luar Portland mengadu mengenai kesukaran mereka memakai hijab semasa bertanding, menurut syarikat ini.

Nike berunding dengan atlet Islam dari seluruh dunia termasuk pelari dan pelumba basikal Timur Tengah dalam menghasilkan hijab itu.

Syarikat lain juga ada menjual hijab kepada atlet Islam.

Tahun lalu, syarikat pakaian sukan Denmark, Hummel melancarkan jersi bola sepak yang disertakan dengan hijab untuk pasukan bola sepak wanita kebangsaan Afghanistan.

Atlet wanita Islam bukan profesional juga memakai hijab yang dibuat oleh syarikat kecil.

“Jualan bersih tahunan Nike adalah dalam angka billion dan ia pencapaian dalam budaya popular yang boleh menjadikan atlet wanita Islam lebih menonjol, kata Amna Al Haddad. Dia merupakan atlet angkat berat yang ditaja oleh Nike dari United Arab Emirates yang berunding mengenai “Pro Hijab”.

“Islam menggalakkan generasi baru terlibat dalam sukan tanpa rasa tersekat kerana mematuhi etika berpakaian mengikut acuan Islam,” kata Amna.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.