Sejauh mana cikgu boleh sentuh anak saya?

Sejauh mana cikgu boleh sentuh anak saya?

Cikgu adalah ibu bapa kedua di sekolah, mereka ada hak mendisiplin murid atas sebab yang rasional bukan kerana tekanan.

rotan
“Mak, cikgu sepak budak lelaki kat sekolah,” kata Syafiqah kepada ibunya, Faridah.

Faridah serba salah. Dia tidak mahu anaknya salah tafsir perbuatan guru itu secara negatif. Ibu kepada 5 orang anak itu mahu elak apa-apa tafsiran salah supaya ia tidak memberi kesan kepada anak perempuannya yang baru belajar di Tahun 1.

Faridah mententeramkan anaknya. Namun, anaknya tidak duduk diam. Dia terus bertanya relevan perbuatan cikgu itu.

“Cuba tunjuk mak, apa yang Fiqah maksudkan dengan sepak dan tunjuk pada mak macam mana kawan Fiqah tu kena sepak,” Faridah tiada pilihan lain.

Terkejut juga apabila “lakonan semula” oleh anaknya memang benar-benar menunjukkan sepak.

“Memang kanak-kanak itu bermasalah, tapi tak tahulah jika perbuatan guru itu patut atau tidak, lebih-lebih lagi di hadapan kanak-kanak lain.

Macam Fiqah, ia beri kesan padanya. Budak sekarang IQ (kecelikan otak) dan EQ (kecelikan emosi) tinggi, tindakan macam ini boleh beri kesan,” katanya dalam perbualan telefon pagi tadi.

Seorang guru dari Kluang, Johor, Harun berkata, peranan guru bukan setakat mengajar malah mendidik. Tetapi apabila ibu bapa menafikan tanggungjawab guru sebagai “in loco parentis” maka ia menyebabkan guru hanya menjadi pengajar bukan pendidik.

“Saya tidak nafikan ada guru yang suka naik tangan walaupun perkara kecil, tetapi itu hanya minoriti. Kebanyakan guru mengambil tindakan merotan atau hukuman bersifat denda. Isu ini terlalu panjang dan sangat subjektif untuk dibincangkn,” katanya.

Sebagai guru disiplin, Harun akui unitnya itu amat memahami perangai pelajar dan ibu bapa.

“Kealpaan seorang doktor akan membunuh beberapa orang pesakit, tetapi kealpaan seorang pendidik akan ‘membunuh’ beberapa generasi. Janganlah ibu bapa sendiri menyebabkan guru alpa terhadap tanggungjawabnya,” katanya.

Manakala pengetua tadika yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam bidang didikan, Silva berkata guru memukul murid tidak sepatutnya menjadi isu kerana ia bukan dilakukan atas sebab tidak baik seperti membalas dendam.

“Guru adalah ibu bapa ke-2 di sekolah. Biasanya guru akan beri amaran, 1-2-3, kemudian baru denda.

“Semua orang kena faham, cikgu hanya mahu anak murid lebih berdisiplin dan menjaga kelakuan. Objektif guru sama dengan ibu bapa tetapi murid mahupun penjaga mereka menganggap kami seperti musuh.

Itu sebabnya guru putus asa dan terpaksa meletak tanggungjawab sekadar mengajar tanpa meletakkan sepenuhnya elemen mendidik,” katanya.

Beliau akui pendapatnya bukan merujuk kepada semua ibu bapa kerana kebanyakannya amat memahami tugas guru dalam mendisiplinkan murid.

Vasanthan Gurusamy pula menerangkan pukul dan merotan sebagai 2 tindakan yang jauh berbeza dari segi konteks hukuman murid.

“‘Merotan’ adalah denda yang diterima oleh KPM. ‘Pukul’ pula tindakan yang tidak ada dalam prosedur. Jadi, sudah tentulah salah dari segi undang-undang,” kata pegawai pendidikan itu.

Seorang ibu kepada 2 orang anak kecil, Suraya Abdul pula membezakan zamannya ketika dipukul oleh gurunya. “Dulu kena pukul dalam kelas takut nak beritahu bapa,” katanya.

“Saya tidak kisah jika dipukul atas sebab rasional, yang saya takut sekarang ialah guru yang terbeban dengan kerja sehingga menggangu mood dan mereka bertindak kasar pada murid sebagai membalas tekanan itu,” katanya.

Katanya, rakan-rakanya gurunya selalu mengadu mengenai beban kerja dan betapa mereka tertekan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.