
Marah jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dr Vida apabila pendedahan pergolakan rumah tangganya dengan Fairuz Ahmad Zainuddin dikatakan untuk mencari publisiti murahan.Manakan tidak, kerana menurut beliau pendedahan itu dibuat selepas didesak pihak media untuk memberi reaksi terhadap khabar angin mengatakan rumah tangganya bergolak.
“Apabila wartawan tanya, saya terpaksa menjawabnya bagi mengelakkan timbul lebih banyak fitnah selepas ini.
“Saya ambil pendekatan menjawab soalan tersebut dengan hasrat untuk menjernihkan keadaan. Saya fikir itu lebih baik daripada berdiam diri,” katanya seperti yang dipetik dari akhbar Utusan Malaysia.
Beliau juga menyampaikan kekecewaan terhadap segelintir netizen yang mendakwanya sengaja memperbesar-besarkan isu tersebut sehingga menjadi buah mulut di kalangan masyarakat.
“Apa yang berlaku ini mungkin sudah ditakdirkan dan saya bersyukur kerana Allah SWT mempermudahkan segala urusan berkaitan dengan hal tersebut.
“Saya harap selepas ini tiada lagi pihak yang mengecam atau mengutuk berkaitan dengan hal yang berlaku. Beri masa kepada saya untuk menghadapi ujian ini dengan sebaik mungkin,” katanya.
Ekoran itu, beliau enggan memberi komen lanjut juga berhubung penceraian mereka.
Vida mahu diberikan masa untuk menempuh waktu sukar ketika dalam proses penceraian dengan suaminya itu.
“Tidak ada gunakan jika saya mendedahkan perkara tersebut kepada umum. Cukuplah setakat saya saja dan bukan untuk dikongsi. Saya tidak mahu mengeruhkan suasana,” katanya lagi kepada akhbar itu.
Perkahwinan dengan Fairuz, 39, pada Januari 2014, merupakan yang ke-3 bagi Vida.