Puja Umur Sultan Kelantan tak lengkap tanpa persembahan serunai Pok Ceng

sultan-muhamad-v

fmt-ohsem-inside-article1Raut wajah KeMelayuan dan kepetahannya bertutur bahasa Melayu dialek Kelantan menyebabkan ramai menyangka ‘Pok Ceng’ seorang Melayu.

Pok Ceng seorang Tionghua yang mahir meniup serunai… mengalunkan pelbagai lagu tradisional Melayu Kelantan.

Tiupan serunainya begitu luar biasa hingga beliau ditawarkan menyertai Pasukan Gendang Besar D’Raja Kelantan yang wujud selama lebih 150 tahun.

Pok Ceng atau Yap Chong Sing, 63, mendapat tempat istimewa mempersembahkan tiupan serunai setiap kali sambutan Puja Umur (Hari Keputeraan) Sultan Kelantan.

Pok Ceng yang berasal dari Kampung Paya Pasir, Wakaf Bharu di sini, berkata beliau mula bermain serunai sekitar 1980an dan diajar seorang pemain serunai Muslim Tionghua dikenali sebagai Che Sahak Muallaf.

“Pada mulanya saya hanya belajar bermain lagu untuk persembahan silat, namun sekitar 1990an, saya diajak oleh seorang juru serunai Pasukan Gendang Besar D’Raja Kelantan, Che Hussin Che Soh, 57, untuk sama-sama berlatih memainkan lagu-lagu khusus bagi kerabat Diraja Kelantan.

“Saya belajar memainkan lagu-lagu khusus itu dan berlatih lebih 2 tahun sebelum diterima menyertai pasukan itu secara rasmi pada 1997,” kata Pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu kepada Bernama ketika menjalani latihan di Wakaf Tembesu, Berangan di sini.

Pok Ceng berkata antara lagu-lagu khusus untuk kerabat Diraja Kelantan ialah Raja Berangkat, Raja Bertabal dan Seri Istana.

“Juru serunai merupakan nadi kepada kumpulan ini kerana kami yang mencorakkan keseluruhan permainan muzik tradisional ini.

“Jika serunai sumbang, maka instrumen lain juga akan turut sumbang dan lagu tidak dapat dimainkan dengan sempurna,” katanya.

Pok Ceng berkata, bagi proses mempelajari lagu khusus kerabat Diraja Kelantan, setiap pemain tidak dibenarkan untuk merekod lagu yang dimainkan oleh pemuzik senior tetapi harus mengingatinya di hati setiap kali latihan dijalankan.

“Ini bagi mengelakkan lagu-lagu ini disebarkan kepada umum sedangkan ia lagu khas kepada Istana Kelantan,” katanya.

Beliau berkata terdapat 2 jenis serunai iaitu Serunai Lagu Kasar dan Serunai Lagu Menyanyi yang digunakan untuk lagu yang berbeza.

“Bagi lagu khusus untuk kerabat Diraja Kelantan ini, saya gunakan Serunai Lagu Kasar kerana bunyinya yang lebih ‘garang’ berbanding Serunai Lagu Menyanyi yang lebih kecil dari segi bentuk yang menghasilkan bunyi yang lebih halus.

“Kebanyakan serunai ini diperbuat daripada batang kayu merbau atau rengas, manakala Nali (bahagian meniup) pula diperbuat daripada perak atau tembaga,” katanya.

Beliau berkata setiap juru serunai perlu belajar teknik khas dipanggil ‘Bagi Nafas’ untuk meniup instrumen itu secara tidak berhenti-henti selama beberapa minit, bergantung kepada keadaan sesebuah lagu dimainkan.

“Ini merupakan aspek terpenting bagi seseorang juru serunai jika mahu menguasai alat muzik ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pok Ceng berkata ada sesuatu yang beliau amat terkilan – tidak dapat membuat persembahannya pada Istiadat Pertabalan Sultan Muhammad V pada 24 April nanti, walaupun sudah 20 tahun beliau berkhidmat secara sukarela dalam pasukan muzik diraja itu.

Ini kerana isterinya sedang sakit.

“Tapi saya tak rasa ralat kerana sudahpun melatih beberapa pelapis yang akan menggantikan saya. Che Hussin juga akan turut serta pada hari pertabalan itu nanti.

Sementara itu, pemain gendang Yaakob Yusof, 82, yang merupakan anggota paling lama bagi pasukan itu, turut menyatakan bahawa serunai merupakan elemen terpenting dalam persembahan muzik tradisional.

“Rasa macam berjalan di atas duri (kepada pemain gendang) jika serunai tidak ditiup dengan tempo yang betul,” katanya yang mula mempelajari ilmu bermain gendang ketika masih berusia 13 tahun daripada arwah bapanya.

Mesra dipanggil Ayah Kob, Yaakob berkata beliau telah berkhidmat hampir 70 tahun dengan pasukan gendang itu sejak 1940an ketika pemerintahan Almarhum Sultan Ismail ibni Sultan Muhammad IV.

Generasi ketiga pemain gendang itu berkata beliau turut mengadakan persembahan ketika pertabalan Almarhum Sultan Yahya Petra sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 1975.

Pasukan Gendang Besar D’Raja Kelantan akan mengadakan persembahan pada Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Balairung Seri, Istana Negara pada 24 April ini.

Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan pada 12 Disember tahun lepas.