
Ikatan kasih sayang antara seorang bapa dan anak memang tidak boleh dipersoal, tetapi ada sesuatu yang lebih istimewa apabila ikatan itu dikaitkan dengan anak perempuan.Betul?
Satu dunia tahu, wujud kemesraan di luar jangkaan antara bapa dan anak perempuan. Selepas ibu dan isteri, tak salah kalau anak perempuan selalu menjadi puteri bapa.
Tetapi bagaimana dengan anak lelaki? Apakah ia tidak sama atau tidak boleh dikembangkan?
Sebenarnya ikatan antara bapa dan anak lelaki juga istimewa dan harus diraikan.
Di bawah beberapa tips kepada para bapa khususnya bapa baharu untuk merapatkan diri kepada anak lelaki mereka.
1. Kembangkan minat atau hobi bersama.
Lakukan sesuatu yang anda berdua minat secara bersama, selagi anak anda kecil mudahlah untuk menyuntik sesuatu hobi kepadanya. Bercucuk tanam, bermain catur, lego, kereta dan sebagainya. Dedahkan anak anda dengan hobi ini walaupun anak anda belum bersedia, lama-lama anda akan ada teman di rumah.
2. Lakukan sesuatu yang menggembirakan dan menyeronokkan bersama.
Kita semua tahu, lelaki suka pada aktiviti lasak, kotor dan sedikit berisiko kerana ia menggembirakan mereka. Apa kata si bapa juga menyertai mereka, kotorkan diri dan eratkan hubungan? Permainan seperti paintball, bola sepak, tinju misalnya, hoki atau ke pusat gim bersama. Sekurang-kurangnya bila bapa bersama, anda tahu tahap “ranggi” anak anda itu.
3. Dengar, dengar, dengar
Anda sudah banyak memberi nasihat, memberi arahan tetapi ia bukan cara komunikasi yang sempurna. Anda juga kena dengar. Pasang telinga dan dengar cerita anak anda yang baru pulang dari sekolah, kelas karate, tuisyen dan cerita mereka bersama kawan. Jangan terburu-buru dalam memberi pandangan atau membuat kesimpulan. Ingat, bila anda dengar tanpa sebarang justifikasi, maka mereka akan lebih terbuka.
4. Jangan paksa untuk bercakap.
Jika anak lelaki anda tidak mahu bercakap mengenai sesuatu perkara, apatah lagi secara bersemuka, jangan paksa. Mungkin anda boleh ubah pendekatan dengan membawa mereka keluar membuat sesuatu aktiviti bersama dan beri pilihan untuk mereka membuka diri. Ingat, jangan paksa.
5. Bercakap pasal perkara penting, jangan malu.
Sepanjang fasa tumbesaran, ada perkara yang perlu dibincangkan bersama anak anda. Jangan risau, jangan rasa malu kerana anda sebagai bapa perlu menjadi orang pertama yang berbincang mengenainya. Antaranya ialah mengenai seks, perlakuan tertentu, perhubungan dengan gadis lain, kesihatan, perubahan dalam diri dan sebagainya. Anak anda mungkin rasa pelik atau tidak selesa, yakinlah lebih baik anda yang mulakan dialog sebelum mereka mendapat maklumat salah daripada orang yang salah.
6. Selesaikan sesuatu masalah secara bersama
Anda ada masalah dengan kereta anda? Ajak anak lelaki dan baiki bersama. Cuba tunjuk keyakinan terhadap anak anda dalam menyelesaikan sesuatu masalah besar. Ia akan menjadi pengalaman terbaik baginya selain membina hubungan yang kukuh sesama anda berdua.
7. Tunjuk kekuatan mereka
Anak anda mungkin bersaiz kacil atau kurus, tetapi dia pasti ada kekuatannya sendiri. Serlahkan kekuatan itu supaya dia lupa kelemahannya. Asah bakat anak anda dan benarkan dia mencuba dan gagal sehinggalah berjaya. Terus sokong supaya dia dapat membina kekuatan dan apabila ia dilakukan dengan sokongan bapa, ia lebih bernilai.
8. Nak buat/cakap apa pun, ada batas
Sentiasa ingat, walaupun hubungan anda berdua adalah anak dan bapa tetap kena ada batas. Bukan apa, supaya anak lelaki anda itu ada rasa hormat dan tidak mudah menyakiti anda. Dalam mana-mana perhubungan pun ada peraturan dan batas, ia memberi kualiti kepada ikatan itu. Anda boleh jadi seorang bapa yang mesra tetapi bukan bapa yang penyibuk. Ia akan menghampakan anak anda juga.
9. Jangan menjerit kepada anak
Lelaki atau perempuan, mereka tidak suka apabila kesilapan itu diungkit di depan khalayak. Bawa bertenang dan tunjuk kesilapan mereka tanpa melibatkan mana-mana pihak atau individu lain. Jika anda mahu mendisiplinkan anak, ia bukan sahaja harus dilakukan secara tegas tetapi secara berhemah.
10. Ingat, anda mempengaruhi perlakuan mereka
Ia adalah perkara paling penting yang perlu anda ingat, anda adalah model kepada anak lelaki anda. Jadilah contoh yang baik. Jika anda menghormati isteri anda, maka dia akan menghormati ibunya. Jika anda melenting pada anak perempuan, dia juga akan berbuat sama kepada adiknya; jika anda merokok, bersedialah dengan kesannya.