
Pertama kali mendengar mengenai kewujudan hutan terpencil di sebuah kawasan penempatan elit di bandaraya ini, penulis teruja ingin mengetahui kesahihannya.Berpandukan alamat yang diperoleh, penulis dan beberapa rakan nekad mencari khazanah alam itu. Pemanduan selama 20 minit ke Setia Alam di sini dijamu dengan pemandangan pusat membeli-belah, bangunan-bangunan tinggi, deretan rumah banglo serta taman-taman perumahan baharu sehinggakan terdetik di hati, masih wujudkah sebuah hutan di kawasan sebegini?
Kami tiba ke Seksyen U10 Shah Alam sebelum menyambung penerokaan hutan berkenaan – Hutan Rimba Shah Alam – yang dikelilingi taman-taman perumahan Setia Alam, Alam Budiman dan Nusa Rhu.
Kami melalui jalan berturap dan sambil berjalan, mata liar mencari kawasan hutan yang dimaksudkan. Perjalanan diteruskan sehinggalah terlihat sebuah kolam takungan semula jadi yang luas. Airnya yang hijau kebiruan cukup mempesonakan. Kelihatan pelbagai ikan berenang-renang dalam kejernihan air itu.
Dari hutan konkrit ke hutan sebenar
Terlihat sekumpulan pendaki melalui denai kecil di lereng bukit berdekatan, lantas kami mengekori mereka mendaki ke Peak Garden, puncak tertinggi yang terletak di ketinggian 250 meter.

Melepasi lereng bukit, mata terpukau melihat keindahan hutan di situ. Namun apabila menoleh ke belakang, rumah-rumah mewah tadi masih jelas kelihatan. Bagaikan berada di tengah-tengah 2 dunia berbeza.
Udara di hutan terasa segar, tenaga bagaikan dicaj semula sekali gus kami semakin bersemangat meneruskan perjalanan. Menariknya, bukan sahaja denai yang dilalui terjaga rapi dan amat sistematik, malah terdapat pelbagai papan tanda mengenai penjagaan kebersihan hutan dan bermacam-macam tanda arah.
Pendakian selama sejam melalui kawasan curam dan licin serta denai yang dihalang pokok tumbang sebesar 3 pemeluk berjaya dilepasi dengan bantuan pendaki lain yang saling membantu.
Sampai di Peak Garden, masing-masing girang walau kepenatan. Jelas kelihatan pemandangan bandaraya Puncak Perdana, Shah Alam dan Damansara serta tasik-tasik yang tersembunyi di sekitar hutan itu.
“Mampukah kawasan ini bertahan,” terlintas di fikiran apabila terpandang hutan batu yang tidak jauh dari situ.
Selepas diselidiki, difahamkan, Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF) mencipta nama Hutan Rimba Shah Alam itu, namun lebih dikenali sebagai Setia Alam Community Trail dalam kalangan para pendaki dan penunggang basikal bukit.
Ingin mengetahui selanjutnya, penulis menghubungi Setiausaha SACF, Alicia Teoh yang memberitahu, persatuan itu ditubuhkan berikutan keprihatinan dan kepekaan penduduk setempat terhadap pengekalan hutan di Shah Alam.
Menurut Alicia, denai asal dibuat oleh kumpulan sukan basikal beberapa tahun lepas untuk tujuan pendakian dan merentas desa. Kemudiannya SACF membentuk denai baharu sebagai usaha memelihara hutan selain menghalang hakisan tanah akibat hujan.
“Usaha kami tidak terhenti di situ. Jika pokok tumbang ketika cuaca buruk, kami akan memanggil anggota komuniti menerusi Facebook SACF untuk bergotong-royong membersihkan kawasan itu,” katanya kepada Bernama sambil menambah walaupun SACF ditubuhkan pada 2016, usaha melindungi alam sekitar di situ bermula sejak 5 tahun lepas.
Tebang hutan, pengambilan tanah, cabaran SACF
SACF juga mendidik masyarakat supaya bertanggungjawab terhadap alam sekitar seperti menggalakkan mereka membawa keluar sampah yang dijumpai di kawasan hutan.
Komuniti itu merancang untuk membina denai bagi tujuan pendidikan selain menggalakkan aktiviti mendaki serta kembara lasak sekali gus merapatkan hubungan antara masyarakat dan alam sekitar.
Setiap usaha pasti diselangi cabaran, begitulah yang dialami SACF dalam memastikan ekologi hutan berkenaan terus terjaga.
Menurut Alicia, cabaran paling getir bagi SACF dalam mengekalkan kehijauan hutan adalah aktiviti penebangan pokok dan pengambilan tanah sempadan hutan untuk kerja-kerja pembinaan.
Beliau meminta agar orang ramai lebih peka terhadap ancaman pencerobohan hutan dan melaporkannya kepada pihak berkuasa seberapa segera.
Alicia memasang impian untuk melihat SACF dan Hutan Rimba Shah Alam diberikan status Rimba Komuniti seperti mana yang diperoleh Persatuan Rimba Komuniti Damansara, inisiatif perhutanan komuniti pertama di Malaysia.
Jika status itu diperoleh, SACF bercadang menganjurkan aktiviti rekreasi, lawatan pelajar sekolah mengenali alam sekitar dan menjalankan sesi membersihkan denai serta bergotong-royong menggalakkan konservasi serta penjagaan alam sekitar.
Pengiktirafan itu amat penting bagi SACF kerana wujud keperluan bagi menjaga dan mengajak masyarakat turut serta dalam pemeliharaan dan pemuliharaan hutan di sekeliling mereka.
“Rimba Komuniti ialah kawasan hutan yang diurus oleh kerajaan, komuniti tempatan dan badan bukan kerajaan bagi menjamin kemandirian alam sekitar dan membolehkan aktiviti rekreasi dijalankan secara sah di dalam hutan berkenaan.
“Apabila sesuatu hutan mempunyai status Rimba Komuniti, penduduk di sekeliling kawasan hutan itu mempunyai suara dalam penggunaan dan penjagaan hutan berkenaan sekali gus membolehkan komuniti mengambil bahagian dalam konservasi rimba dengan lebih menyeluruh,” jelas beliau.
Pelihatan ekologi hutan
Selain itu, mewartakan sebagai hutan simpan kekal dan mewujudkan koridor binatang liar yang menghubungkan antara Hutan Rimba Shah Alam dengan Hutan Bukit Cerakah bagi membantu memudahkan binatang liar bergerak di antara 2 kawasan itu juga antara inisiatif yang diharapkan anggota komuniti SACF.
“Inisiatif ini bukan sahaja membantu pemeliharaan ekologi hutan malah masyarakat berpeluang melakukan pelbagai aktiviti berkaitan alam sekitar di dalam kedua-dua hutan ini,” katanya.
Hutan yang seluas kira-kira 160 hektar itu adalah sebahagian daripada Hutan Simpan Bukit Cerakah. Kira-kira 52 hektar daripadanya adalah milik kerajaan negeri manakala selebihnya dimiliki Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor untuk tujuan pembangunan kediaman.
Antara spesies flora di dalam hutan jenis diteroka tanah rendah asli yang terdapat di situ adalah pokok-pokok berangan, jelutong, ara selain tumbuhan cendawan dan periuk kera. Tinjauan biodiversiti pada tahun lepas berjaya menemui lebih 100 jenis spesies tumbuhan dalam jarak hanya 50 meter.
Terdapat air terjun kecil, sungai dan kolam takungan semula jadi yang menjadi habitat kepada beberapa jenis haiwan seperti monyet, ungka, pelbagai jenis burung dan ular. Malah kelibat tapir juga pernah dilaporkan kelihatan di kawasan itu.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Kewartawanan Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia, Dr Mohamad Saifudin Mohamad Saleh berkata usaha SACF dalam pemuliharaan hutan di tengah bandar wajar dipuji dan dikembangkan ke bandar-bandar utama seperti Pulau Pinang dan Johor Baharu.
SACF patut dicontohi
Beliau mengesyorkan SACF membina kerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain dalam memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat mengenai kepentingan penanaman pokok di kawasan masing-masing.
Tanggungjawab menjaga dan memelihara hutan tidak harus diletakkan di atas bahu kerajaan semata-mata tetapi perlu melibatkan semua pihak termasuk orang ramai yang sewajarnya sedar akan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Saifudin yang mempunyai Ijazah Doktor Falsafah(PhD) dalam Komunikasi Alam Sekitar dari Leuphana University of Luneburg, Jerman berkata, asas utama penjagaan dan perlindungan alam sekitar adalah dengan memiliki pengetahuan mengenainya.
“Sekiranya masyarakat faham dan celik mengenai kepentingan alam sekitar, pastinya perlindungan dan penjagaannya dapat ditingkatkan. Perkara ini boleh diterapkan dalam diri sendiri bermula dari rumah seterusnya ke kawasan berdekatan, malah boleh menyertai pelbagai NGO dalam pemuliharaan alam sekitar di negara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Saifudin berkata pembangunan tanpa menepati garis panduan yang ditetapkan dan tidak terancang boleh menjejaskan alam sekitar. Kesan daripada kawasan hijau yang digondolkan akan menyebabkan masalah seperti tanah runtuh dan banjir yang akhirnya menjejaskan kesejahteraan manusia.
“Ibu bapa, media dan NGO perlu memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat. Masyarakat bandar khususnya, perlu sedar pemeliharaan dan pemuliharaan hutan bukan tanggungjawab kerajaan tetapi semua pihak,” tambah beliau.