Pertanian guna teknologi dron tarik minat petani muda

dronefmt-ohsem-inside-article1Sebuah dron berwarna putih terbang bagaikan terbuai-buai pada ketinggian kira-kira 2 meter dari permukaan petak-petak sawah sambil memuntahkan semburan ke atas pokok padi di situ.

Kelihatan seorang remaja berbaju merah, lengkap memakai topeng hidung dan mulut sedang berdiri di tepi bendang seluas 10 hektar yang terletak di Batas Paip, Kuala Kedah, sambil memandang dron tangannya memegang panel kawalan dron itu.

Mohd Ataillahwardi Ahmad, 21, bukan bermain-main dengan dron sebaliknya sedang menggunakan dron untuk menyembur racun ke atas pokok padi yang berusia kira-kira 60 hari di situ.

Usai 5 minit, Mohd Ataillahwardi perlahan-lahan mendaratkan dron di atas batas bendang. Dia lantas memeriksa keadaan dron sebelum memasukkan bancuhan racun untuk semburan seterusnya.

“Tak kira pertama kali atau sudah berkali-kali buat kerja ini, gementar tetap ada. Bukan apa, takut salah ‘setting’, salah campuran racun atau paling tidak, dron ada masalah teknikal,” kata pengendali dron (drone pilot) bagi Syarikat Perniagaan Peladang MADA Sdn. Bhd (MADACorp) itu. MADACorp adalah anak syarikat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Bagaimanapun, tambah beliau yang lebih mesra dengan panggilan Atai, perasaan itu dapat di atasi melalui pengalaman.

Belajar mengenai padi dari A hingga Z

Atai bertugas dengan MADACorp awal tahun ini berkata, minat mendalami teknologi baharu terutamanya mengenai dron membuatkannya tidak teragak-agak menjadikan kemahiran mengendali pesawat udara tanpa juruterbang itu sebagai kerjaya setelah menamatkan pengajian di Pusat Latihan Padi MADA (MRTC).

Dia yang mengikuti kursus dalam bidang penyediaan padi berkata, “Dalam kursus selama 2 tahun itu, saya belajar segala aspek berkaitan penyediaan padi. Bak kata orang, dari A hingga Z.

“Kursus itu menyedarkan saya betapa industri penanaman padi sudah banyak berubah berbanding zaman dahulu. Boleh dikatakan 75% kerja-kerja mengusahakan bendang kini dibantu pelbagai teknologi pertanian,” jelasnya.

Anak jati Alor Setar itu berkata, sikap keterbukaan terhadap penggunaan teknologi dalam pertanian sangat penting dalam memastikan kelangsungan sektor penanaman padi.

Antara contoh adalah penggunaan dron, kini alternatif bagi para peladang untuk melakukan tugas-tugas penyemburan racun berbanding cara tradisional.

Berpendapat penggunaan dron perlu diperluaskan, Atai menegaskan, “Kalau nak mengerjakan bendang, tak boleh bergantung pada kudrat semata-mata.

“Nak harapkan orang muda, memang tak ramai yang sanggup. Nak upah buruh luar, tak balik modal. Jadi, antara cara untuk menarik minat golongan belia untuk mengerjakan bendang adalah dengan memperkenalkan penggunaan teknologi baharu,” tambah beliau.

Kini, MADACorp mempunyai 6 unit Agriculture Drone dan tumpuan semburan adalah dalam kawasan MUDA yang merangkumi 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA.

Dron-dron itu beroperasi menggunakan bateri, dilengkapi teknologi sistem automatik sepenuhnya dengan Sistem Pengesanan Global (GPS) serta menggunakan bahan-bahan yang ringan tetapi kuat seperti gentian karbon dan aluminium aeroangkasa.

Menurut Atai, penggunaan dron untuk menyembur racun tidaklah semudah yang disangkakan.

Walaupun ramai yang boleh mengendalikan dron tetapi seseorang itu perlu lebih daripada sekadar minat untuk menjalankan kerja-kerja sawah menggunakan dron Model 3W-ETH-XN-10L.

“Bukan saja terpaksa berjemur di bawah terik matahari tetapi mereka perlu mempunyai ilmu mengenai padi dan cara-cara mencampurkan racun dengan betul dan tepat. Jika tidak, ia akan memberi kesan kepada pokok padi yang sekali gus merugikan bukan saja petani malah kami,” katanya.

Bukan mudah menjadi pilot drone

Sementara itu, Pengurus Besar (Pemasaran) MADACorp, Ahmad Johari Zainul berkata, syarikatnya memberi keutamaan kepada lepasan MRTC untuk mengisi jawatan drone pilot.

Walaupun ramai yang memohon untuk menjadi pilot Agricultutre Drone, tidak ramai yang mampu bertahan lama.

“Tidak ramai yang sanggup berpanas, bermain lumpur serta menghidu bau tidak enak ketika membuat campuran racun. Bukan itu saja, tempoh bekerja adalah seawal 7 pagi,” jelasnya.

Selain itu, aktiviti semburan racun bergantung kepada keadaan cuaca dan tekanan tiupan angin kerana semburan tidak sesuai dilakukan pada waktu hujan atau angin kencang.

“Satu lagi kemahiran yang perlu bagi seseorang drone pilot adalah kemampuan mengatur strategi dalam menyusun atur aktiviti semburan agar terancang memandangkan lokasi sawah yang bertaburan dan saiz sawah yang kecil,” katanya.

Sehubungan itu, MADACorp berganding bahu dengan PPK akan terlebih dahulu mengenal pasti kawasan-kawasan berkenaan sebelum melakukan aktiviti semburan. Perancangan teliti amat penting memandangkan MADACorp mensasarkan 10 hingga 15 hektar semburan sehari bagi setiap dron.

Sementara itu, bagi kawasan Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA), kira-kira 15 hektar mampu disembur dalam sehari kerana sawah berkenaan terletak dalam satu kawasan yang luas.

Bagaimanapun, MADACorp hanya mampu membuat semburan ke atas kira-kira 10 hektar dalam sehari bagi kawasan sawah petani individu, disebabkan lokasi sawah yang bertaburan dan saiznya kecil.

Mengenai masa hadapan drone pilot, Ahmad Johari mengakui sektor pertanian bakal memerlukan lebih ramai pakar yang berkaitan menjelang 2020.

Tambah beliau, dalam tempoh 3 tahun, penggunaan teknologi Agriculture Drone akan menjadi satu keperluan dan kemestian dalam sektor pertanian di Malaysia terutamanya sektor penanaman padi.

“Malah, dalam masa terdekat, dengan kajian dan penghasilan model-model dron yang lebih canggih, kami percaya alat ini boleh digunakan untuk menyembur baja serta benih padi,” katanya.

Menjelaskan mengenai harga dron, Ahmad Johari berkata, memandangkan teknologi itu masih baharu, harga seunit dron adalah kira-kira RM75,000 hingga RM80,000.

Beliau bagaimanapun, yakin harga itu akan semakin murah dan mampu dimiliki oleh para petani apabila dron digunakan dengan meluas dan diterima oleh masyarakat petani.

Malah, potensi penggunaan teknologi dron dijangka melonjak dan berkembang pesat disebabkan harga perkhidmatan yang ditawarkan sangat berbaloi.

Caj perkhidmatan yang murah

“Untuk peringkat permulaaan dan promosi, MADACorp mengenakan caj RM20 bagi 3.3 hektar, menyamai caj semburan cara konvensional. Penggunaan dron lebih pantas, tepat dan kawalan serangan serangga perosak dapat dilakukan dengan segera sekiranya ia berlaku,” jelasnya.

Pernah dipalit dengan kontroversi apabila beberapa pihak mendakwa penggunaan dron untuk menyembur racun akan mencemarkan udara, Ahmad Johari menjelaskan, “Semuanya sudah dikaji dan beberapa kajian lapangan mendapati peratusan untuk racun mencemarkan udara di kawasan penempatan penduduk tidak akan berlaku.

“Petani juga tidak perlu gusar mengenai racun tidak mengenai sasaran kerana tahap ketinggian semburan hanyalah sekitar 1.8 meter hingga 2 meter dan kawasan semburan juga sudah ditetapkan secara automatik dengan bantuan GPS,” jelasnya.