Revolusi seni guna cat getah

Revolusi seni guna cat getah

Inovasi baharu Lembaga Getah Malaysia (LGM) berjaya menghasilkan 12 warna asas daripada sumber getah asli atau lateks untuk seni visual yang boleh dimanfaatkan untuk semua peringkat.

getah-colour-lgm
fmt-ohsem-inside-article1Menggunakan cat air, cat akrilik mahupun cat minyak adalah medium biasa yang digunakan tidak kira mereka yang profesional mahu pun yang baru ingin belajar menghasilkan karya seni lukis.

Penggunaan cat air atau umum mengenalinya sebagai “water colour”, sudah didedahkan di peringkat sekolah rendah lagi ketika menghasilkan kerja seni.

Apabila memasuki peringkat profesional, akrilik yang juga berasaskan air dan cat minyak menjadi pilihan sama ada untuk karya di kanvas ataupun di atas kertas.

Masih berasaskan cat air, inovasi baharu Lembaga Getah Malaysia (LGM) berjaya menghasilkan 12 warna asas daripada sumber getah asli atau lateks untuk seni visual yang boleh dimanfaatkan untuk semua peringkat sama ada peringkat asas di sekolah, pertengahan mahupun profesional.

Menggunakan nama “Getah Colour” seperti yang dipatenkan, ia adalah “produk hijau” yang berasaskan bahan semula jadi daripada getah asli yang pertama di dunia.

Potensi tinggi cat getah

Produk perpotensi tinggi, cat getah memberi pilihan baru selain akrilik yang banyak digunakan terutama di kalangan pelukis profesional seluruh dunia.

Dari aspek sejarah, cat akrilik mengambil masa hampir 40 tahun untuk diterima sebagai media seni visual dan tidak mustahil cat atau pewarna daripada getah asli ini akan melalui kitaran yang sama sebelum diterima dengan baik.

Menurut Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Zairossani Mohd Nor, kelebihan utama cat getah ialah sifatnya yang mesra alam kerana 30% bahan asas daripada sumber getah asli berbanding cat akrilik berasaskan petroleum manakala cat minyak pula berasaskan minyak yang boleh menyebabkan bahaya kepada kesihatan pengguna,

Beberapa ciri baik pada cat getah antaranya ia lebih cepat kering berbanding cat air dan lebih perlahan daripada akrilik yang memberikan lebih banyak fleksibiliti dan permainan ekspresif di dalam penghasilan karya.

“Cat getah ini apabila kering ia kalis air yang membantu karya yang dihasilkan lebih tahan lama selain lebih mudah dibasuh dari tangan.

“Bahan yang digunakan selain polimer semulajadi, susu getah asli perlu ditambah dengan bahan-bahan lain untuk mendapatkan kelikatan yang sesuai bagi mengelakkan proses pembekuan ketika memberusnya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Luaskan penggunaan, popularkan jenama

Menghasilkan cat getah adalah salah satu usaha untuk menjenamakan semula getah asli supaya lebih dikenali oleh generasi muda.

Penghasilan cat getah untuk kegunaan seni visual adalah medium terbaik yang dapat meningkatkan pengetahuan generasi muda mengenai getah asli yang menjadi komoditi penting negara, katanya.

Dipimpini ketua Program, Dr Asrul Mustafa, penyelidikan ini sebagai satu inisiatif untuk meningkatkan penggunaan getah asli dengan menghasilkan produk bernilai tinggi seperti juga kejayaan dalam menghasilkan produk seperti sarung tangan, kondom dan sebagainya.

Pada peringkat awal, fokus kajian adalah mengembangkan penghasilan produk dalam industri pembinaan dengan menghasilkan cat bagi kegunaan industri dan kediaman.

“Setelah melihat perkembangan positif daripada kajian tersebut, usaha dikembangkan penggunaannya kepada cat untuk seni visual dan pendidikan seni yang mempunyai potensi yang lebih luas sama ada di peringkat sekolah, universiti dan profesional.

Penambahan produk ini bagi memastikan getah asli yang merupakan komoditi penting dalam pembangunan negara awal pasca-merdeka akan terus relevan di kalangan masyarakat Malaysia terutama menuju TN50, katanya.

Secara tidak langsung penghasilan cat getah ini dapat memupuk minat pelajar dan generasi muda bukan sahaja dalam bidang seni visual tetapi juga kaitannya dengan bidang sains dan teknologi elastomer.

Kerjasama Balai Seni Visual

Asrul yang terlibat sejak awal dalam penyelidikan ini menyatakan fomulasi menghasilkan cat getah ditemui dengan menghasilkan prototaip.

Secara asas untuk menghasilkan cat atau pewarna memerlukan 3 komponen iaitu pewarna, pelikat dan pengikat.

Membezakan cat getah dengan cat akrilik ialah pengikatnya di mana cat getah menggunakan pengikat daripada getah asli manakala cat akrilik daripada petroleum, katanya.

“Walaupun inovasi yang dilakukan bukan berbentuk berteknologi tinggi namun kita melihatnya untuk jangka masa panjang terutama generasi muda agar hasil komoditi negara kita terus relevan hingga 2050,” katanya.

Untuk mengkomersialkan cat ini, LGM menjalinkan kerjasama dengan kilang cat tempatan untuk memastikan produk ini boleh dihasilkan mengikut spesifikasi dan piawaian tertentu pada skala besar.

Selain itu, untuk mempromosikan hasil inovasi terbaru ini, LGM bekerjasama dengan Balai Seni Visual Negara untuk mengadakan pameran hasil karya menggunakan cat getah asli selama 2 minggu pada Mei tahun ini.

Ia akan melibatkan 88 keping karya daripada 17 pelukis termasuk 2 pelukis dari Singapura dan Myanmar.

“Diharapkan ini akan menjadi salah satu promosi terbaik bagi memperkenalkan cat getah dalam kalangan rakyat tempat dan luar,” tambah Asrul.

Cat getah ada karektor sendiri

Bagi pelukis dalaman LGM, Ahmad Suhaime Nordin yang menghasilkan beberapa buah karya menggunakan cat getah terdapat perbezaan pada hasil lukisannya terutama warna kilat yang timbul daripada campuran getah tersebut.

Cat getah, katanya mempunyai karektornya tersendiri yang tidak terdapat pada cat akrilik mahupun cat minyak.

“Tidak boleh disamakan kerana masing-masing mempunyai karektor yang tersendiri. Walaupun penghasilan warna tidak jauh beza tetapi teknik penggunaannya mungkin sedikit berbeza.

“Akrilik bersifat lut sinar tetapi cat getah tidak. Jadi kena mahirkan untuk menggunakannya bagi mendapatkan hasil yang terbaik,” katanya.

Sehingga kini tidak kurang 10 karya dihasilkan menggunakan cat getah dan ada yang berjaya dijual.

“Apabila saya terangkan lukisan itu daripada getah asli, ramai yang tertarik dan berminat untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut. Dari sini saya dapat rasakan potensi yang lebih besar untuk cat getah ini di masa hadapan sekiranya dipromosikan dan diberi pendedahan secara meluas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.