Jangan tunggu rosak baru nak jaga kesihatan buah pinggang

Berapa kerap anda terfikir mengenai kesihatan buah pinggang anda? Lazimnya selagi ia tidak membawa masalah tidak mengapa. Ia juga bermakna buah pinggang anda berfungsi secara baik kerana kegagalan boleh membawa gangguan kepada kualiti hidup. Namun jangan tunggu sehingga ia membawa gangguan sebaliknya jaga kesihatan sejak awal lagi.

Fungsi buah pinggang adalah untuk membuang sisa dari aliran darah (antara fungsi lain seperti menghasilkan air kencing), jadi anda boleh membayangkan kemungkinan yang akan berlaku jika mekanisme itu gagal.

Berikut adalah 7 cara untuk mengekalkan kesihatan dan fungsi buah pinggang. Selagi anda tidak membebankan organ itu dan menjaganya dengan mengawal pemakanan dan gaya hidup, ia tidak akan menggangu kehidupan anda.

1. Kekal hidrasi

Air adalah komponen penting untuk semua fungsi tubuh, maka pastikan anda meminum air secara konsisten. Namun, menurut Cleveland Clinic, walaupun anda harus kekal hidrat tetapi ia tidak bermakna anda perlu lakukannya secara berlebihan.

Kajian itu menyatakan penghidratan sebagai amalan berkesan dalam meningkatkan fungsi buah pinggang. “Ia juga tidak bermakna lebih banyak air akan mendatangkan mudarat kepada buah pinggang cuma anda mungkin mendapati diri menghabiskan lebih banyak masa di bilik air,” petiknya.

2. Diet mesra buah pinggang

Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) mencadangkan jenis makanan yang disarankan untuk kesihatan buah pinggang dan secara keseluruhan.

Menurutnya, diet buah pinggang dan jantung yang sihat terdiri daripada makanan yang rendah natrium (garam), buah-buahan dan sayur-sayuran serta makanan kaya Omega-3 seperti salmon. Anda juga dinasihatkan mengurangkan makanan yang diproses serta pengambilan lemak tepu yang terdapat dalam makanan seperti telur, susu, keju dan makanan bergoreng.

3. Buat senaman

Senaman penting untuk kesihatan secara keseluruhan, apatah lagi untuk buah pinggang. Terdapat beberapa senaman yoga mendorong dan menggalakkan kesihatan khususnya kesihatan buah pinggang. Hubungi doktor atau pakar untuk membincangkan program senaman yang paling sesuai untuk anda sekiranya anda berdepan masalah buah pinggang kronik.

4. Kawal tekanan darah

Tekanan darah juga mempunyai hubungan dengan kesihatan buah pinggang. Pengambilan terlalu banyak cecair dan garam boleh meningkatkan beban pada sistem peredaran darah, jadi pastikan anda berbincang dengan doktor mengenai kadar tekanan darah anda dan kesihatan buah pinggang.

5. Jaga jantung anda

Institut Kebangsaan Diabetes dan Pencernaan dan Penyakit Ginjal AS mengaitkan penyakit jantung dengan risiko penyakit buah pinggang yang lebih tinggi, dan sebaliknya. Ini kerana ia berkongsi 2 punca utama iaitu kencing manis dan tekanan darah tinggi.

“Penyakit jantung adalah penyebab kematian yang paling umum dalam kalangan mereka yang mengalami penyakit buah pinggang.”

Anda boleh didiagnosis untuk penyakit buah pinggang melalui ujian darah dan air kencing. Hasil darah akan menunjukkan kadar penapisan glomerular (GFR), yang mengesan tahap keberkesanan buah pinggang.

6. Berhati-hati dengan suplemen

Walaupun vitamin tambahan memberi manfaat, pengambilan yang tidak dikawal boleh memberi kesan negatif pada buah pinggang. Portal Cleveland Clinic turut menamakan ekstrak herba dalam senarai ini. Lebih baik, anda mendapatkan nasihat doktor mengenai dos suplemen yang disarankan. Mencampur-aduk suplemen juga boleh beri kesan sampingan kepada buah pinggang.

7. Berhenti Merokok

Walaupun amalan seringkali dikaitkan dengan kesihatan paru-paru dan jantung, tetapi tidak banyak bezanya kepada buah pinggang anda. Merokok boleh menyekat dan merosakkan saluran darah, mengurangkan jumlah darah yang mengalir ke buah pinggang.

Artikel WebMD juga menyatakan, merokok meningkatkan risiko penyakit buah pinggang kepada pesakit diabetes.